PPSPPA sasar Pahang bebas sampah haram akhir bulan ini

0

KUANTAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) menyasarkan Pahang bebas dari sampah sarap haram menjelang akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ab Rahim bin Md Noor berkata langkah itu adalah satu daripada empat pelan strategik dalam usaha memastikan Pahang menjadi negeri bebas sampah dan lebih bersih tahun ini.

“Setakat ini sebanyak 121 lokasi sampah haram telah dibersihkan setakat ini manakala dua lagi lokasi iaitu Jabor dan Semambu akan dibersihkan dari semua sampah haram pada 22 Jun ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Anti-Litter peringkat negeri di Stadium Darul Makmur di sini semalam.

Turut hadir merasmikan program, Pengerusi Jawatankuasa Perbandaran dan Pengangkutan Negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.

Ab Rahim berkata, tiga lagi pelan tersebut ialah membersihkan longkang-longkang tersumbat, mengadakan program anti-buang sampah dan mentransformasikan minda masyarakat agar mengamalkan budaya pembersih dalam kehidupan seharian.

“Longkang-longkang yang didapati tersumbat akan dibersihkan secepat mungkin agar bebas dari sampah sarap dan pencemaran bau yang busuk.

Kita juga akan mengadakan program ‘anti-litter’ atau anti buang sampah ini secara berterusan agar masyarakat terus dididik untuk menjaga kebersihan tempat awam dan tidak membuang sampah mera-rata,” katanya.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata masyarakat khususnya rakyat di negeri ini harus prihatin dengan kebersihan tempat awam dan jadikan membuang sampah di tempat yang betul amalan seharian.

“Kebersihan tempat awam juga perlu terus dipelihara kerana ia penting kepada industri pelancongan negeri agar lebih ramai pelancong datang ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia tahun ini,” katanya. — Bernama