TERAS pasti temui ‘jalan mati’: Masing

4

KUCHING: Impian Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) untuk menyertai Barisan Nasional (BN) pasti menemui ‘jalan mati’.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing yang memberitahu, tiga daripada empat parti komponen BN di negeri ini tidak menyokong parti itu menyertai BN.

“PRS, SPDP dan SUPP menentang TERAS menyertai komponen BN dan hanya PBB yang belum membuat kenyataan secara umum mengenai perkara ini.

“Bagaimanapun, untuk menjadi komponen BN ia memerlukan 100 peratus persetujuan semua pihak (parti komponen lain), namun permohonan TERAS untuk menyertai BN hanya menemui jalan mati,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kelmarin.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata TERAS akan menjadi tentangan kepada SUPP dan SPDP pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“TERAS akan menentang SUPP (19 kerusi DUN) dan SPDP (lapan kerusi) menggunakan simbol masing-masing dan parti yang menang akan menyertai BN.

“Itulah formula yang diguna pakai untuk BN Plus 1983 lalu seperti PBDS menentang SNAP dahulu,” jelasnya.

Namun, beliau memberitahu bahawa pemenang yang sebenar adalah pembangkang kerana berjaya menghuru-harakan BN sendiri.