10 kawasan di Serian dilulus untuk sukatan, warta NCR

0

SERIAN: Sebanyak 10 kawasan di Daerah Serian telah diluluskan baru-baru ini untuk tujuan penyukatan dan pewartaan tanah-tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri, iaitu Rizab Gunasama Bumiputera.

Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Rozlan Putit berkata, usaha di bawah inisiatif baharu Pengukuran Perimeter Tanah Bumiputera di Bahagian Samarahan itu melibatkan keluasan lebih kurang 61,260 hektar.

“Pasukan ukur Jabatan Tanah dan Survei (JTS) akan memulakan kerja-kerja peng-ukuran di lapangan di sekitar bulan Julai ini.

“Selain itu, kerajaan telah masuk ke fasa kedua modus operandi inisiatif baharu bagi tanah NCR di mana tiga kawasan di Bahagian Samarahan telah diluluskan untuk disukat secara individu dan seterusnya dikeluarkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” ujarnya.

Menurut Rozlan, antara kawasan pertama yang diluluskan adalah Riih, Serian berkeluasan lebih 501 hektar melibatkan komuniti Bidayuh, kawasan Merang dengan keluasan 188 hektar melibatkan komuniti Iban dan kawasan Endap, Samarahan berkeluasan 295.8 hektar melibatkan komuniti Melayu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Gunasama (Pertanian) Bumiputera Bahagian Samarahan yang disampaikan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dato Sri Michael Manyin Jawong di Dewan Masyarakat Serian di sini, semalam.

Majlis yang turut dihadiri ADUN Tarat Datuk Roland Sagah Wee dan ADUN Muara Tuang Dato Sri Mohammad Ali Mahmud itu menyaksikan tiga kawasan iaitu kawasan Tarat, Segenam dan Batang Samarahan berkeluasan 1,625.17 hektar menerima warta berserta pelan yang diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Tambah Rozlan, sejak inisiatif baharu NCR diperke-nalkan, JTS Bahagian Samarahan telah berjaya menyukat dan mewartakan sebanyak 15 kawasan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri melibatkan keluasan lebih kurang 6,000 hektar.

“Daripada 15 kawasan tersebut, tiga kawasan yang diwartakan melibatkan 13 kampung merangkumi komuniti Bidayuh Iban, dan Melayu akan menerima warta masing-masing pada hari ini (semalam),” katanya.

Antara kawasan yang me-nerima warta semalam, kawasan Tarat yang terdiri daripada sembilan buah kampung dengan keluasan 1,280.6 hektar tanah, Segenam (334.65 hektar dengan dua kampung) dan Batang Samarahan (dua kampung dengan keluasan 9.92 hektar).

“Jabatan berusaha untuk melaksanakan kerja-kerja penyukatan ini mengikut jadual yang ditetapkan.

“Dengan itu, kami amat berharap mendapat kerja-sama terutama untuk lot-lot indvidu dan meminta bantuan ketua kaum supaya tidak ada pertindihan berlaku bagi memudahkan pengeluaran surat hak milik tanah kepada pemilik,” katanya.