Nyaris putus tangan dilibas parang

0

SEORANG lelaki hampir putus tangan terkena parang yang ditepis ketika diserang sekumpulan lelaki di sebuah kelab malam di Jalan Song, Kuching awal pagi semalam.

Insiden dilaporkan berlaku ketika mangsa bersama beberapa rakannya sedang berhibur di kelab malam tersebut apabila didatangi kira-kira 10 lelaki yang tidak dikenali sekitar jam 1 pagi.

Menurut sumber, pada mulanya hanya berlaku pergaduhan kecil di antara mereka sebelum kumpulan terbabit beredar dan datang semula beberapa minit kemudian dengan membawa senjata tajam dipercayai parang.

“Mereka (suspek) menyerbu masuk ke dalam kelab malam tersebut di mana seorang daripada suspek bertindak menghayun parang ke arah mangsa sehingga terkena tangan mangsa yang ketika itu cuba mempertahankan dirinya.

“Mujur beberapa pelanggan dan pekerja di kelab malam itu berjaya meleraikan pergaduhan tersebut lalu menghantar mangsa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber.

Mangsa sehingga berita ini ditulis semalam dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Difahamkan, laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan.