Tindakan hanya ke atas premis miliki sijil halal

0

Kaki babi: Tindakan tidak dapat diambil kerana semua premis di medan selera tiada sijil halal

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) hanya dapat mengambil tindakan sekiranya terdapat pelanggaran syarat sijil halal yang dikeluarkan kepada premis-premis makanan yang memilikinya.

Justeru, JAIS tidak dapat mengambil sebarang tindakan berhubung isu kaki babi yang didakwa dijumpai di dalam mangkuk soto ayam yang dijual di premis makanan sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, baru-baru ini.

Ini berikutan seluruh premis makanan di medan selera pusat beli-belah itu tidak pernah memohon untuk mendapatkan pensijilan halal daripada JAIS sejak ia mula beroperasi, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Beliau berkata, JAIS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa memantau sebarang aktiviti penjualan makanan oleh premis perniagaan makanan yang telah mendapat perakuan halal.

“JAKIM dan JAIS memantau premis makanan di seluruh negeri dari semasa ke semasa.

“Pada masa sama, pihak bertanggungjawab ini juga akan sentiasa memastikan pengusaha premis mematuhi kriteria pensijilan halal termasuk proses penyediaan hinggalah ke pemprosesan makanan.

“Bagi isu yang menggemparkan penduduk Kuching baru-baru ini berikutan dakwaan penemuan kaki babi di dalam soto ayam, JAIS tidak dapat mengambil sebarang tindakan ke atas pengusaha premis berkenaan kerana mereka tidak pernah memohon untuk mendapatkan pensijilan halal daripada JAIS sebelum ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, menurut beliau, premis yang tidak memiliki pensijilan halal seharusnya lebih bertanggungjawab dan tidak menjual makanan haram bagi umat Islam dengan sewenang-wenangnya terutama di kawasan terbuka.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum Majlis Penangguhan Program Taklimat Amil Bahagian Kuching di Dewan Majlis Islam di sini, semalam.

Mengulas mengenai penyebaran isu-isu berkaitan di laman sosial yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini, Daud berkata masyarakat umum tidak harus membuat komen secara melulu sebelum menjalankan sebarang kajian terperinci berkaitan isu halal haram bagi mengelak kekeliruan berlaku.

“Kita tidak mahu orang luar buat komen tanpa ada kajian terperinci yang boleh menjurus ke arah kekeliruan kepada masyarakat.

“Autoriti telah ditetapkan untuk mengesahkan pensijilan halal merangkumi JAKIM, JAIS dan Jabatan Kimia, justeru selain daripada badan bertanggungjawab ini, ia mungkinlah hanya andaian untuk mempengaruhi orang ramai,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya masyarakat Islam mempunyai keraguan berkaitan isu halal dan haram, mereka dinasihatkan untuk mengemukakan keraguan itu kepada agensi yang berkaitan iaitu JAKIM dan JAIS.

Tambahnya, permohonan pensijilan halal adalah bersifat sukarela dan tidak ada paksaan.

Namun demikian, sekiranya pengusaha premis makanan pernah menjual makanan yang tidak halal dan mahu memohon pensijilan halal daripada JAIS, pegawai JAIS akan turun padang untuk membersih serta menyamak segala peralatan di premis berkenaan agar ia selamat digunakan oleh masyarakat Islam, ujarnya.

“Pinggan mangkuk atau apa sahaja peralatan yang pernah digunakan sebelum memohon pensijilan halal akan dibersih dan disamak untuk kegunaan semua.

“Selepas mendapat pensijilan halal berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan, baharulah kita dapat membuat pemantauan dan kita akan lebih tegas dan tidak membenarkan mereka menjual babi atau apa sahaja makanan yang haram dimakan oleh masyarakat Islam,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan masyarakat Islam agar lebih peka dan mengenal pasti premis yang mempunyai pensijilan halal serta melayari laman sesawang Unit Halal JAIS bagi mengetahui lebih lanjut mengenai premis yang sudah diperakukan halal.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen dan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.