Berkenalan di FB, akhirnya kena rogol

1

PADAH menjalin hubungan dengan gadis bawah umur, seorang lelaki kini berdepan tindakan undang-undang setelah didakwa merogol gadis terbabit yang dikatakan baharu dikenalinya melalui Facebook (FB).

Menurut sumber, lelaki berusia 21 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan gadis terbabit, 14, yang membawa kepada pertemuan mereka pada malam Rabu lepas.

Difahamkan, gadis bawah umur itu telah dijemput oleh lelaki terbabit dari rumah keluarganya sebelum dibawa bermalam di sebuah rumah di kawasan Petra Jaya, Kuching.

“Pada hari berikutnya, gadis itu telah menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada ibunya memberitahu mereka telah membuat laporan polis kerana dia tidak pulang ke rumah pada malam tersebut.

“Dia (gadis) yang risau akan perkara tersebut kemudian meminta lelaki berkenaan menghantarnya ke pejabat ibunya untuk memberitahu perkara sebenar,” kata sumber.

Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih tegang apabila gadis tersebut mengaku telah menjalinkan hubungan seks dengan lelaki berkenaan menyebabkan ibunya terus membuat laporan polis mendakwa anaknya telah dirogol.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak polis berhubung kejadian tidak berjaya sehingga berita ini ditulis semalam.