Ambil alih bangkai kapal laut

0

Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menggesa bangkai kapal laut usang di tepi pantai Ba Zhong di sini supaya diambilalih untuk dimusnahkan jika masih ada.

Pada mesyuarat itu, Ahli-Ahli Majlis diberitahu Jabatan Laut setakat ini sudah mengeluarkan empat notis pengambilalihan bangkai kapal yang ditinggalkan pemiliknya di lokasi terbabit.

Menurut wakil Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Sabah, langkah itu sudah diambil dan empat notis sudah dikeluarkan kepada pemilik-pemilik bangkai kapal bertanggungjawab.

Menyentuh keputusan mesyuarat terbabit, wakil JLM itu memberitahu pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi di ‘limbungan setinggan’ berkenaan.

Khususnya, untuk mengeluarkan notis dan mengambilalih bangkai vessel/ kapal laut ataupun bot yang ditinggalkan oleh pemilik-pemiliknya untuk dimusnahkan (jika masih ada).

Mengulas lanjut, Presiden MPT Datuk Ismail Mayakob meminta semua pihak berkaitan memberi perhatian serius kerana kawasan limbungan setinggan itu masih lagi beroperasi.

“Situasi di situ sudah bertahun berlarutan, sebab itu kita berharap tindakan lebih serius diambil untuk memastikannya tidak melarat menjadi isu yang lebih besar,” katanya.

Ismail berkata, pendedahan mengenai terdapat sebilangan kapal laut yang didaftarkan di Indonesia tetapi turut berada di lokasi itu juga perlu diambil tindakan segera.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu di Dewan Persidangan MPT di sini kelmarin turut meminta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Tawau memberikan ulasan situasi terkini.

“Kita mahu tahu perkembangan tindakan susulan selepas surat arahan berpindah dikeluarkan kepada pemilik vessel/ kapal dan bot yang terlibat dalam aktiviti membaikpulih dan drydocking di sana,” katanya.

Teguran itu dibuat berdasarkan laporan jabatan terbabit yang menyatakan surat arahan berpindah kepada pemilik vessel/ kapal dan bot sudah dikeluarkan pada 4 April 2014.

Laporan jabatan itu turut menyebut bahawa usaha menjejak pemilik/ ‘master’ ataupun orang yang terlibat dengan aktiviti di tepi pantai Ba Zhong sudah dijalankan pada 19 April 2014.

Perkara itu dibuat selaras dengan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002, Peraturan 2008 dan hasil pemantauan pada 4 April mengesan 29 unit yang tersadai di lokasi terbabit.

Antara yang dikesan, sembilan unit inboard motor yang sedang melakukan pembaikan kecil serta tujuh unit inboard motor dalam keadaan tidak aktif, buruk dan separuh usang.

Turut dikesan dua unit outboard motor dan sembilan unit perahu naga tidak bernombor yang diletakkan/disimpan di kawasan daratan lokasi berkenaan.