The Azzurri ‘bergelut dengan kepanasan’

0

BERDEPAN TUGAS GETIR: Prandelli memerhati pemainnya menjalani sesi latihan di pusat latihan Portobello di Mangaratiba kelmarin. — Gambar Reuters

Selepas Uruguay, Costa Rica impikan satu lagi kejutan apabila berdepan Itali di Recife

NATAL, Brazil: Itali mengintai peluang melangkah ke pusingan kedua dengan kemenangan ke atas Costa Rica hari ini, tetapi juara dunia empat kali itu menyedari cuaca tropika di Recife.

Pemain tengah Itali, Daniel De Rossi membayangkan Costa Rica mempunyai kelebihan dengan cuaca di Recife, di mana beliau berkata Itali ‘bergelut dengan kepanasan’ pada Piala Konfederasi di sini tahun lepas.

Selepas memulakan kempen dengan bergaya pada penampilan keempat mereka di Piala Dunia selepas mengejutkan Uruguay 3-1, Costa Rica masih mampu mengimpikan satu lagi kejutan.

“Itali mempunyai pemain hebat seperti (Mario) Balotelli dan (Andrea ) Pirlo , yang mengawal permainan mereka dan kami amat menghormati mereka,” kata pemain tengah Costa Rica, Christian Bolanos.

“Te-tapi kami berharap akan mendapat kelebihan dari cuaca di sini. Kami biasa bermain dalam suhu seperti di sini.”

Itali, yang tersingkir awal di pusingan pertama Piala Dunia 2010, memulakan kempen memburu kejuaraan dunia yang keempat dengan kemenangan 2-1 ke atas England di Manaus minggu lepas.

Tetapi mereka diberikan peringatan tentang kejayaan Costa Rica menewaskan Uruguay – yang melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2010 – di mana mereka menjangkakan satu perlawanan yang sukar .

“Mereka pastinya bersemangat selepas kemenangan (ke atas Uruguay),” kata De Rossi.

“Jika mereka tewas 90-4, mungkin kami boleh memandang ringan mereka sedikit tetapi sekarang kami tidak boleh berbuat demikian.

” Bagaimanapun, De Rossi menambah: “Tetapi saya berharap dan saya pasti, kami boleh menewaskan Costa Rica dan memastikan tempat ke pusingan kedua.”

Kemenangan kedua buat Itali akan memberikan kelebihan kepada mereka menjelang perlawanan terakhir menentang Uruguay minggu hadapan tetapi jurulatihnya, Cesare Prandelli berdepan dengan dilema pemilihan pemain.

Matteo De Sciglio, yang kebiasaannya bermain di posisi pertahanan kanan, dijangka gagal pulih sepenuhnya dari kecederaan paha sementara Andrea Barzagli dan rakan di posisi pertahanan tengah, Gabriel Paletta, yang gagal menyerlah ketika menentang England, mungkin bermula di bangku simpanan.

Pemain pertahanan kiri, Giorgio Chiellini, diuji dengan kepantasan Raheem Sterling ketika menentang England, jadi Prandelli harus membuat keputusan bagaimana merombak skuadnya untuk menentang pasukan Costa Rica yang mencemaskan bahagian sayap Uruguay dengan kelicikan penyerang Bryan Ruiz.

Seperti yang dijangkakan ketiak menentang England, Pirlo menjadi perancang penting serangan Itali walaupun laporan mencadangkan rakan di posisi tengah, Marco Verratti, mungkin akan ditukar dengan Thiago Motta.

Claudio Marchisio, yang menjaringkan gol pertama Itali ketika menentang England, dijangka mengekalkan tempatnya, di belakang penyerang tunggal, Balotelli, yang menjaringkan gol kemenangan Itali pada minit ke-50.

Keraguan juga timbul tentang penjaga gol Gianluigi Buffon, yang tidak beraksi menentang England kerana kecederaan buku lali, membolehkan Salvatore Sirigu mencuri perhatian.

Pemain tengah Costa Rica, Jose Miguel Cubero berkata pasukannya tidak berhasrat untuk memburu keputusan seri.

“Apabila anda memburu keputusan seri, anda biasanya akan kalah.  Kami memburu kemenangan perlawanan menentang Itali,” kata Cubero.

“Tetapi kami harus mengurangkan kesilapan yang kami lakukan, terutama sekali dalam separuh masa pertama ketika menentang Uruguay.

De Rossi akan berharap untuk mengelak konfrontasi sama yang menyebabkan beliau dibuang padang ketika menentang Amerika Syarikat pada Piala Dunia 2006.

Tetapi beliau berkata ia pastinya satu kesilapan untuk memperkecilkan lawannya.

“Mereka mengejutkan semua orang dengan kemenangan ke atas Uruguay, jadi ia pastinya satu perlawanan yang sukar.” — AFP