Rogol depan anak

3

Lelaki ditahan kerana dipercayai merogol budak 13 tahun, isterinya turut dicekup belasah mangsa.

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Sepasang suami isteri berumur 51 dan 42 tahun ditahan polis di sebuah tapak binaan di Jalan Wawasan di sini pada jam 12.50 tengah hari kelmarin berhubung satu laporan kes rogol membabitkan seorang budak perempuan berumur 13 tahun.

Dalam kejadian pada jam 6 petang Rabu lalu, mangsa dipercayai dirogol di hadapan anak suspek sebelum dibelasah oleh isteri suspek di rumah pekerja kilang di Jalan Bawang Assan, di sini.

Dalam insiden itu, mangsa dipercayai dipaksa berbaring di atas lantai sebelum suspek membuka pakaiannya dan melakukan perbuatan terkutuk itu.

Mangsa tidak melawan kerana dipercayai takutkan suspek.

Perbuatan keji itu turut disaksikan oleh anak lelaki suspek berumur 11 tahun yang kemudiannya menceritakan segalanya kepada ibunya (isteri suspek).

Isteri suspek yang hilang pertimbangan setelah mengetahui perkara itu kemudiannya dipercayai bertindak menendang kepala, menampar muka serta menghentak kepala mangsa ke dinding.

Tidak cukup dengan itu, badan mangsa juga dipercayai dicucuh dengan api rokok malah rambut mangsa digunting dan kepalanya dicukur oleh isteri suspek.

Selepas insiden itu, mangsa dan abangnya melarikan diri ke rumah datuk mereka dan memberitahu apa yang terjadi.

Pada jam 11 malam keesokannya, mangsa dibawa ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis.

Mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan perubatan pagi semalam.

Difahamkan, mangsa dan abangnya tinggal bersama keluarga suspek sejak dua bulan lalu setelah dihalau oleh ibu bapa mereka dari rumah.

Pasangan suami isteri tersebut kini ditahan reman sehingga Isnin ini sementara siasatan kes dijalankan.