Pemergian Wong Ho Leng kehilangan besar dalam arena politik Sarawak

0

KUCHING: Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Wong Ho Leng disifatkan kehilangan besar dalam arena politik Sarawak meskipun mendiang berpegang kepada ideologi politik yang berbeza.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional  Negeri (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol, Wong merupakan seorang pemimpin politik yang lantang berbicara terutama ketika membangkitkan isu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sebagai seorang ADUN yang baharu, saya rasa bertuah dan bangga kerana berkesempatan mengenali seorang pemimpin seperti beliau terutama pengalaman berdepan dengannya setiap kali DUN bersidang.

“Bagi pihak rakan-rakan BNBBC Sarawak serta semua setiausaha politik Ketua Menteri, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Mendiang Wong Ho Leng,”  kata Abdullah yang juga ADUN Semop dan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri.

Menteri Muda Perumahan merangkap ADUN Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pula melihat Wong sebagai seorang yang berdedikasi dan komited dalam perjuangan politiknya.

“Hakikatnya mendiang seorang pemidato yang baik dan Sarawak telah kehilangan seorang pemimpin politik yang baik walaupun mendiang pemimpin yang duduk dalam barisan pembangkang.

“Beliau adalah seorang yang profesional dan mempunyai ramai rakan dalam BN,” kata bekas pengerusi BNBBC Sarawak itu.

Bagi bekas rakan mendiang dalam Parlimen, Datuk Fadillah Yusof menyifatkan mendiang sebagai seorang Ahli Parlimen yang kurang berbahas, mungkin disebabkan kekangan bahasa.

Bagaimanapun kata Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Wong seorang yang boleh dibawa berbincang.

“Takziah kepada isteri dan keluarga mendiang… di kawasan diwakilinya saya kurang pasti dari segi khidmat dan sumbangannya.

“Namun sebagai seorang peguam dan individu, mendiang seorang yang boleh dibawa berbincang dan saya tiada masalah selama berurusan dengannya,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu.

Turut meluahkan saya simpati ialah Ahli Parlimen Serian yang juga Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Wong,54  meninggal dunia di Sibu malam Sabtu lepas selepas menderita barah otak sejak tahun lepas.

Mendiang yang merupakan bekas Ahli Parlimen Sibu dan pengerusi DAP Sarawak meninggalkan isteri Irene Chang dan lima cahaya mata.

Mendiang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada awal tahun ini sebelum dimasukkan ke Pusat Perubatan Rajang, Sibu.