BN serah kepada Adenan selesai isu TERAS: TPM

0

KUCHING: Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Pusat menyerahkan kepada Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem menyelesaikan isu berkaitan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata demikian menambah, formula penyelesaian itu kelak hendaklah tidak menjejaskan kekuatan BN di Sarawak.

“Kita serahkan atas kebijaksanaan Ketua Menteri selaku pengerusi BN Negeri dengan mengambil kira situasi dan keadaan yang kita tahu agak sensitif.

“Apapun keputusan (kelak) tidak akan menjejaskan kedudukan BN, sebaliknya ia memperkuatkan BN,” katanya pada sidang media selepas bermesyuarat dengan barisan kepimpinan BN Negeri di sini, semalam.

Isu TERAS yang ingin menyertai BN merupakan antara topik dibincangkan Muhyiddin menerusi mesyuarat yang dihadiri Adenan, Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing, Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin dan Setiausaha Agung SPDP Datuk Nelson Balang Rining.

Menurut Muhyiddin, Adenan dalam mesyuarat itu meminta sedikit masa untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Apa formula dan apa keputusan (dicapai kelak) kita yakin ia akan kita selesaikan dalam semangat atau kerjasama dalam BN,” katanya.

TERAS merupakan parti yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Ogos 2013 dan dijadikan platform baharu bagi beberapa wakil-wakil rakyat daripada SPDP dan SUPP yang mengalami krisis dalaman.

Susulan penyertaan itu pemimpin-pemimpin SPDP, SUPP dan PRS menyatakan bantahan mereka terhadap permohonan TERAS yang ingin menyertai BN.

Antara yang menyertai TERAS ialah bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom (Ahli Parlimen Saratok dan ADUN Pakan) dan bekas Pengerusi SUPP Sibu Dato Sri Wong Soon Koh (ADUN Bawang Assan).

Selain dua pemimpin kanan itu, TERAS juga dianggotai wakil rakyat daripada SPDP merangkumi Datuk Peter Nansian Ngusie (ADUN Tasik Biru), Datuk Sylvester Entrie Muran (ADUN Marudi), Paulus Palu Gumbang (ADUN Batu Danau) dan Rosey Yunus (ADUN Bekenu).

SUPP terdiri daripada Datuk Dr Jerip Susil (ADUN Bengoh), Ranum Mina (ADUN Opar) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (ADUN Engkilili.

Timbalan Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang juga ADUN Pelagus George Lagong turut menyertai parti itu.

Bagaimanapun, pemimpin SUPP, SPDP dan PRS menentang cubaan TERAS untuk menyertai BN.

Kumpulan wakil rakyat tersebut mengumumkan keluar daripada parti masing-masing dan menyertai TERAS pada 15 Mei lalu.