Adenan berazam lebih rapat dengan komuniti Bidayuh

0

BAU: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem menzahirkan keazamannya untuk lebih rapat dengan komuniti Bidayuh di negeri ini sama seperti bekas Ketua Menteri sebelumnya.

Untuk itu, beliau berharap komuniti tersebut dapat memberi peluang kepadanya dan menerimanya sama seperti pemimpin terdahulu daripadanya.

“Sebagaimana kita semua sedia maklum, pemimpin terdahulu iaitu Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di- Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sungguh rapat dan tidak pernah melupakan kaum Bidayuh dalam sama-sama mengecapi pembangunan di negeri ini.

“Oleh itu, saya juga akan berusaha menjadi sahabat kaum Bidayuh sama seperti beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Gawai Dayak Karnival REDEEMS Ke-9 di Pusat REDEEMS, Kampung Apar di Bau, malam kelmarin.

Menurutnya, beliau komited untuk menjadi seorang pemimpin yang rapat dengan rakyat tidak kira kaum dan agama di negeri ini.

Dalam pada itu, Adenan turut memuji semangat komuniti Bidayuh yang sentiasa mengekalkan budaya dan tidak melupakan asal usul mereka walaupun dunia semakin moden.

Beliau turut memberitahu bahawa pada masa ini semakin ramai anak Bidayuh berjaya dalam pelajaran dan kehidupan yang mana ada daripadanya menjadi doktor, profesor, jurutera dan bermacam- macam lagi.

Mengengai majlis tersebut, Adenan menyifatkannya sebagai perjumpaan paling meriah pernah disaksikannya.

“Malam ini menunjukkan budaya Bidayuh sentiasa hidup dan kita berharap ia dapat dikekalkan sampai bilabila,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Muda Pembanguan Komuniti dan Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie dalam ucapan aluannya melahirkan kegembiraan dengan kehadiran Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan pemimpin nombor dua negara Tan Sri Muhyiddin Yassin.