28 unit komputer unsur judi disita

0

RATAN (tengah) menunjukkan antara unit komputer yang dirampas di IPD Penampang kelmarin.

PENAMPANG: Polis menyita 28 unit komputer yang dipercayai berunsur perjudian dalam dua serbuan berasingan di Putatan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Ratan Kumar Singh berkata, dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 22 dan 35 tahun, berjaya ditahan dalam serbuan yang dilaksana bersempena Ops Dadu itu.

“Dalam serbuan pertama pada 23 Jun lalu, di sebuah premis tidak bernombor Taman Jumbo, kita telah merampas 13 unit komputer berserta wang tunai RM70 yang mana didapati berunsur perjudian siber.

“Manakala bagi serbuan kedua, sebanyak 15 unit komputer dirampas berserta wang tunai RM30 di sebuah premis berhampiran Pusat Dagangan Putatan kira-kira jam 3 petang kelmarin yang turut dipercayai tidak mempunyai lesen perniagaan,” katanya.

Ratan berkata, bagi serbuan kedua di Pusat Dagangan Putatan itu, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur perjudian dilakukan dan siasatan lanjut masih giat dijalankan.

“Polis, dalam pada itu, meminta orang ramai khususnya penduduk di sekitar Penampang dan Putatan untuk terus menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti perjudian siber di kawasan mereka.

“Ini kerana kita akan secara berterusan menjalankan operasi serta serbuan dari masa ke semasa sebagai usaha membendung aktiviti-aktiviti perjudian siber di daerah Penampang,” katanya.

Kesemua bahan rampasan dan tangkapan masing-masing disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam.