Akta 709 undang-undang siber

0

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia Haji Abu Hassan Ismail menjelaslan bahawa Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) adalah merupakan salah satu undang-undang siber bertujuan mengawalselia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersil.

Sehubungan itu katanya, adalah menjadi tanggungjawab utama jabatan dan agensi kerajaan untuk mengawalselia pemprosesan data peribadi individu yang terlibat dalam urus niaga komersil oleh pengguna data supaya tidak disalahguna dan disalahpakai oleh pihak-pihak berkepentingan dalam urusan komersil harian.

Katanya, dalam pengurusan pasaran ekonomi sekarang, segala urusniaga adalah berbentuk ekektronik serta menggunakan banyak peralatan komunikasi.

“Justeru, melindungi data peribadi pengguna adalah satu tanggungjawab sosial organisasi.

“Ini penting kerana data peribadi merupakan aset yang bernilai tinggi dalam semua urusan transaksi komersil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada seminar Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709) 2010, bertempat di Dewan Dinamik Jabatan Penerangan Negeri Sabah kelmarin.

Abu Hassan berkata, adalah menjadi hasrat kerajaan menerusi Akta 709, untuk memastikan bahawa tujuh prinsip perlindungan data peribadi diketahui umum.

Katanya, semua pengguna data perlu memberikan penekanan serius bagi memastikan keselamatan data peribadi individu yang berada dalam simpanan organisasi masing-masing berkedaaan baik, selamat daripada sebarang bentuk penyalahgunaan, ancaman, penyelewengan dan sebagainya.

Di peringkat perdagangan antarabangsa katanya, peraturan-peraturan berkaitan perlindungan data peribadi adalah penting sebagai prasyarat utama perdagangan dua hala.

Sebagai contoh katanya, Artikel 25, Arahan Kesetuan Eropah 1995; menyatakan bahawa pemindahan data peribadi hanya ke negara-negara ketiga di luar Kesatuan Eropah, sekiranya negara berkenaan mementingkan soal keselamatan dan perlindungan data yang mencukupi.

“Kita perlu sedar akan pentingnya melindungi data peribadi individu untuk mewujudkan perniagaan lebih bertanggungjawab, selain mengetahui akan pentingnya peranan Akta 709,” katanya.

Abu Hassan berkata, Akta 709 merupakan faktor tadbir urus dan tanggungjawab sosial korporat yang baik. Kewajipan itu boleh juga dilihat sebagai pelaksanaan tugas korporat antara hubungan individu dengan pemegang saham atau pekerja.

Katanya, adalah diharapkan sesuatu peniagaan lebih bertanggungjawab dan mempunyai tadbir urus yang terbaik, hak-hak awam di Malaysia dengan negara-negara kuasa besar akan lebih terjamin dan dilindungi terutama dalam urusniaga komersil negara.

“Ia mampu merubah Malaysia ke arah era baharu komunikasi digital,” katanya dan menambah, perlindungan data peribadi adalah faktor amanah yang penting dan perlu dikekalkan dalam pesekitaran pasaran.

“Amanah ini penting kerana ia amat mudah dikompromi mengikut penggunaan data peribadi yang tidak sesuai atau berisiko yang mengancam keselamatan data secara `online’,” katanya.

Katanya, sebagai pemain industri, jabatan dan agensi kerajaan hendaklah memainkan peranan penting bagi mendidik dan menyebarluaskan kersedaran awam secara menyeluruh demi memperluaskan pengetahuan dan pemahaman orang ramai berkaitan isu-isu keselamatan serta mengurangkan ancaman-ancaman keselamatan data peribadi.

“Bagi melengkapkan ilmu pendidikan dalam kalangan rakyat, pelbagai inisiatif perlu dipertimbangkan. Peraturan-peraturan industri diharap dapat menyebarluaskan kerjasama dan perkongsian dengan pengguna, agar mesej yang disampaikan mudah difahami, jelas dan melindungi privasi pengguna,” katanya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah Haji Amirul Ajirul dan Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah Abdul Jalani Mahmud.