Gadis dakwa dirogol bergilir

1

KABONG: Seorang gadis berusia 17 tahun mendakwa dirogol bergilirgilir oleh dua rakannya dalam satu kejadian di kawasan sebuah kilang di Gerigat dekat sini, petang kelmarin.

Terdahulu, mangsa dikatakan melepak bersama dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an pada jam 6 petang.

Selepas beberapa ketika, mangsa difahamkan menyatakan keinginan untuk pulang ke rumah tetapi dihalang oleh kedua-dua suspek.

Sejurus itu, suspek pertama dipercayai bertindak menolak dan mencekik mangsa sambil mengacukan sebilah pisau ke lehernya.

Kemudian, suspek dipercayai menarik seluar mangsa sehingga ke paras lutut dan terus merogolnya.

Ketika dirogol, mangsa mendakwa sempat menjerit dan menggigit bahu kanan suspek.

Setelah selesai melakukan perbuatan terkutuk itu, suspek kedua pula bertindak merogol mangsa, manakala suspek pertama menahannya.

Persis drama di televisyen, selesai merogol mangsa, suspek kedua memberi ‘habuan’ RM50 dengan memasukkan wang tersebut ke dalam poket seluar mangsa.

Selepas kejadian, mangsa yang trauma tampil membuat aduan di Balai Polis Kabong sebelum dibawa ke Hospital Saratok untuk pemeriksaan.

Berdasarkan laporan mangsa, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek kedua, manakala suspek pertama masih diburu.

Suspek kedua kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.