Lelaki Filipina lari dari PTS

0

SANDAKAN: Seorang lelaki warga Filipina yang ditahan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga Batu 5 telah melarikan diri dengan memanjat zink tembok di pusat tahanan berkenaan, petang Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, suspek dikenali sebagai Patak Palong, 32, itu berambut pendek keriting dengan ketinggian kira-kira 165cm dan berkulit cerah.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 petang itu katanya, tahanan terbabit melarikan diri semasa pengawal keselamatan pusat itu keluarkan 20 orang tahanan pertama dari blok tahanan yang mempunyai 193 orang untuk mengambil air wudhu (sembahyang) di luar blok tahanan itu.

Beliau berkata, salah seorang tahanan iaitu suspek kemudiannya memotong barisan dengan bertindak lari keluar dari pintu blok sebelum menuju ke belakang blok berkenaan.

“Pengawal keselamatan yang bertugas telah mengunci semula pintu tahanan blok berkenaan sebelum mengejar suspek tetapi gagal ekoran suspek berjaya melarikan diri dengan memanjat zink tembok pusat tahanan itu,” katanya.

Rowell berkata, pihaknya yang menerima laporan berkenaan kemudiannya bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, pihak polis telah membuat operasi mengesan suspek di sekitar daerah ini dan pihaknya menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan serta Seksyen 224 kanun yang sama.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat seorang lelaki yang mencurigakan agar menghubungi pihak polis.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang tukang gunting rambut ditahan oleh pihak polis selepas dipercayai menjalankan kegiatan judi pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2014 di sebuah premis di Jalan Dua Pusat Bandar, petang kelmarin.

Rowell berkata, suspek berumur 50 tahun ditahan oleh pihaknya dalam Ops Soga di sekitar Bandar.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai sekeping kertas A4, dua buah buku kecil tercatit negara yang dipilih dan angka pertaruhan bola sepak piala dunia dan terselit RM50 dalam laci kedai gunting rambut berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek mengandungi pesanan ringkas (SMS) pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2014 dan polis juga menjumpai wang tunai RM441 dari suspek.

Suspek kemudiannya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan.