Hamden dan Maimunah juara Irama Melayu Asli

0

UNTUK ALBUM: Para peserta pertandingan merakam gambar kenangan bersama dengan barisan tetamu kehormat.

PENUH DEBARAN: Para peserta berdebar-debar menunggu keputusan pertandingan.

 

Oleh Kepu Sidi //

PERTARUHAN ke atas lagu irama Melayu Asli berjudul Gambus Jodoh dan Hitam Si Tampuk Manggis oleh Hamden Narawi telah membawa tuah kepadanya, apabila beliau dinobatkan sebagai johan pada Pertandingan Akhir Bintang Nostalgia Irama Melayu Asli Sessang 2014, baru-baru ini.

Dengan itu, Hamden berasal dari Kampung Bungin telah berjaya menewaskan 37 orang pesaingnya dalam kategori lelaki.

Selaku johan pertandingan Hamden membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500, trofi dan sijil.

Naib johan kategori sama pula dimenangi oleh Mohamad Asnizam dari Saratok yang menyanyikan lagu Sri Banang dan Laksamana Mati Di Laut dengan merangkul wang tunai RM400, trofi serta sijil penyertaan.

Manakala, tempat ketiga berjaya diraih oleh peserta dari Kampung Sessang, Ludi Sulong yang mendendangkan lagu Sri Banang dan Sri Tamiang serta membawa pulang hadiah wang tunai RM300, trofi dan sijil.

Sementara itu, bagi kategori wanita pula, juara telah dinobatkan kepada Maimunah Sapong yang berasal dari Kampung Selalang, Sarikei dengan menyanyikan lagu Sayang Sarawak dan Laksamana Mati Di Laut.

Maimunah menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500, trofi dan sijil.

Kedudukan tempat kedua jatuh kepada penyanyi muda dari Saratok, Nurashikin Sekedar dengan lagu Seri Mersing dan Pilihan Janji.

Nurashikin merangkul hadiah wang tunai RM400, trofi dan sijil.

Sementara tempat ketiga kategori sama disandang oleh Hajijah Bujang dari Debak yang mendendangkan lagu Dayang Senandung dan Pantun Budi, membawa pulang hadiah wang tunai RM300, trofi dan sijil.

Bagi Anugerah Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik yang membawa pulang hadiah wang tunai RM200 masing-masing telah dimenangi oleh Abdul Kadir Jolhi dari Sarikei dan Suhaimi Dolhi dari Kampung Bungin.

Kesemua hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh pengerusi pengelola Sapiee Sabki.

Pertandingan ini dianjurkan dengan objektif untuk memelihara, mengembang dan mempopularkan lagu-lagu Melayu Asli.

Program ini juga adalah pemangkin kepada usaha meningkatkan aspirasi dan minat masyarakat terhadap lagulagu Melayu Asli yang penuh dengan tatasusila tersendiri.

Pertandingan yang julung kali diadakan ini telah mendapat sambutan yang baik daripada peminat irama Melayu Asli dari Sarikei, Saratok, Bungin, Debak, Spaoh, Kabong, Selalang, Gerigat dan Sessang.