30 unit premis perniagaan terjejas

0

Oleh Amir Anuar //

ASAP tebal memenuhi ruang sekeliling lokasi kebakaran.

TAWAU: Sebanyak 30 unit premis di Bangunan Sabindo Square terjejas akibat kebakaran yang disyaki mula berlaku dari sebuah pusat beli-belah kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Kebakaran itu menyebabkan 23 unit premis di bangunan dua tingkat itu terbakar dan tujuh lagi unit premis berjaya diselamatkan Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau.

Menurut saksi di lokasi kejadian, kebakaran dikatakan berpunca daripada percikan api litar pintas di pusat beli-belah terbabit yang secara tiba-tiba berlaku.

Saksi, Marzuki Mohd Alibin, 28, berkata sebelum kejadian itu berlaku, beliau dan seorang rakannya menaiki kereta dari Pusat Rawatan Islam Baitul Mustakim, Bandar Sabindo.

“Semasa kami memasuki kawasan Sabindo Square, tiba-tiba kami terlihat ada percikan api seperti mercun di wayar elektrik, walaupun tidak berbunyi tapi percikannya amat besar.

“Kami menjadi panik selepas melihat insiden itu berlaku sebelum menghubungi bomba kerana api menjadi semakin marak dan tiupan angin pula agak kuat,” katanya.

Marzuki berkata, kebakaran itu berlaku semasa hujan lebat dan orang ramai di sekeliling lokasi itu memenuhi restoran-restoran berhampiran.

“Kami juga pada awalnya hendak mencari restoran untuk makan malam sambil menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia antara Belanda dan Mexico,” katanya.

Seorang pemilik premis yang terjejas, Siti Kalma Musa, 45, berkata beliau mengusahakan perniagaan tudung, busana muslimah dan aksesori di bangunan itu semenjak 2010.

Beliau berterima kasih dengan orang awam kerana membantu mengeluarkan beberapa barang jualan dan peralatan di kedainya sebelum musnah terbakar sama sekali.

“Saya tidur di rumah di Muhibbah Jaya pada masa itu, sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon kawan yang memberitahu premis kami terbakar.

“Tanpa membuang masa, saya, suami dan anak terus bergegas ke Sabindo Square untuk melihat keadaan premis di sini,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Rudy Fredzex berkata, pihaknya menerima aduan awal berhubung kejadian itu pada jam 11.39 malam.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran dengan kekuatan tiga jentera dan 19 anggota itu berada dalam situasi terkawal pada jam 3.34 pagi sebelum ditamatkan pada jam 7.43 pagi.