Tanam benih padi seludup, 26 pesawah bakal berdepan tindakan

0

PUTRAJAYA: Sebanyak 26 pesawah di Sekinchan, Selangor bakal berdepan tindakan undang-undang selepas didapati menanam padi wangi Taiwan yang benihnya dibawa masuk tanpa kebenaran.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ketika ini pihaknya masih menjalankan siasatan dan mengumpul bahan bukti.

“Siasatan awal mendapati padi itu ditanam di atas tanah seluas 34 hektar membabitkan 26 lot sawah padi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementerian, di sini semalam.

Beliau berkata menanam benih padi yang diseludup melanggar Akta Kuarantin Tumbuhan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

Akhbar baru-baru ini melaporkan beberapa pesawah di kawasan berkenaan mengadu padi mereka dijangkiti wabak karah daun yang disyaki berpunca daripada pokok padi wangi Taiwan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) perlu memainkan peranan dengan lebih berkesan bagi memastikan program Jihad Melawan Orang Tengah dapat mencapai sasaran.

“Pihak NEKMAT perlu lebih kerap turun padang bertemu peniaga untuk memastikan mereka memperoleh bekalan ikan secara terus tanpa pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata tanpa pihak ketiga peniaga dapat menjual ikan lebih murah kepada pengguna.

Ismail Sabri juga mahu NEKMAT turun padang bertemu nelayan bagi mempromosikan pinjaman Tekun Nasional kepada golongan itu.

“Bukan semua nelayan baca akhbar, kalau kita tidak sampaikan mereka tidak tahu ada bantuan disediakan dan ini dapat mengelakkan mereka meminjam daripada orang ketiga.

“Bila nelayan tidak me-minjam daripada pihak ketiga, mereka tidak akan terikat untuk menjual hasil kepada pihak ketiga tetapi boleh menjual terus kepada NEKMAT,” katanya. — Bernama