Pijak, kelar isteri

0

Oleh Michael Ubam//

Akibat cemburu, pertengkaran suami isteri berakhir
tragedi apabila si isteri mati dipercayai dikelar suami.

SIBU JAYA: Pertengkaran sepasang suami isteri di kediaman mereka di sebuah rumah pangsa di sini semalam berakhir dengan tragedi selepas si isteri dipercayai dikelar di bahagian leher oleh suaminya.

Mangsa yang dikenali sebagai Jara Jimbat, 52, berasal dari Rumah Jais, Nanga Kelangas, Sungai Merurun, Julau disahkan meninggal dunia di kaki lima tingkat tiga rumah pangsa tersebut dipercayai akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Difahamkan, mangsa dikatakan bergaduh dengan suaminya (suspek) yang berumur 23 tahun di rumah mereka sekitar jam 12 tengah hari semalam.

Pihak polis yang dihubungi orang awam mengerahkan tiga anggotanya untuk melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian dan berjaya meredakan pergaduhan di antara mereka.

Selepas beredar, pihak polis menerima satu lagi panggilan orang awam menyebabkan anggota polis berpatah balik ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa terbaring berlumuran darah di kaki lima tingkat tiga rumah pangsa berkenaan pada jam 1 petang.

Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai telah memijak-mijak badan isterinya sebelum mengelar lehernya dengan senjata tajam.

Mengikut laporan, si isteri dipercayai keluar dari rumahnya sebelum rebah dan meninggal dunia.

Terdahulu, suspek dipercayai cuba merampas telefon bimbit isterinya, sekali gus menyebabkan berlaku pergelutan di antara mereka.

Suspek yang bekerja sebagai operator mesin berat di Putai, Kapit dikatakan terus ke Balai Polis Sibu Jaya dengan menaiki teksi untuk menyerah diri.

Kes pembunuhan tersebut dipercayai akibat perasaan cemburu dan suspek hanya sekali-sekala pulang ke sini dari Putai, Kapit.

Pasangan tersebut yang berkahwin pada 31 Mei 2012 mengikut adat Iban mempunyai seorang anak lelaki beru­mur tiga tahun dan mereka mendiami rumah pangsa berkenaan sejak setahun lalu.

Hasil siasatan, suspek mengakui dir­inya gila dan menggunakan parang un­tuk mengelar leher isterinya dan senjata tersebut dipercayai telah dibuang dalam perjalanan menuju ke balai polis.

Mayat mangsa telah dibawa ke ru­mah mayat Hospital Sibu sekitar 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi menge­sahkan kes tersebut.

Kes dijangka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.