Tetal syukur walaupun daif

0

KUCHING: Berbuka puasa hanya mengharapkan juadah makanan pemberian keluarga dan jiran sekampung sudah menjadi asam garam kehidupan Saadiah Maree, 54, dan ayahnya Maree Mion, 105, setiap kali Ramadan.

Disebabkantiada pekerjaandanhanya mengharapkan bantuan kebajikan, mereka berdua tidak mampu berbuka puasa secara mewah seperti orang lain atau membeli makanan di bazar Ramadan.

Sebaliknya, setiap juadah makanan pemberian orang ramai sudah memadai bagi mereka berdua berbuka puasa, malah ada kalanya tiada makanan langsung untuk dinikmati.

Menurut Saadiah, mereka berdua hanya berbuka puasa ala kadar mengikut pemberian orang ramai.

“Kami tidak seperti orang lain yang berbuka puasa dengan pelbagai jenis juadah.

“Apa yang orang ramai beri, itulah juadah berbuka puasa kami setiap hari,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Saadiah yang mengalami masalah buah pinggang berkata, kadang-kadang abangnya yang bekerja sebagai tukang kebun ada menghantar makanan.

“Gaji abang tidak seberapa dan tidak dapat memberi makanan kepada kami setiap hari,” ujarnya.

Akibat kesempitan hidup dan tidak mampu untuk membayar sewa rumah, dua beranak itu terpaksa tinggal di rumah uzur yang dibina di kawasan milik ketua kampung di Kampung Stapok.

Saadiah menjelaskan, mereka berdua terpaksa menumpang di atas tanah milik ketua kampung yang dijadikan tempat berteduh sejak 40 tahun lalu.

Disebabkan tanah tersebut bukan milik mereka, maka bekalan elektrik dan air bersih tidak dapat disambungkan, sebaliknya hanya menyambung elektrik dari rumah jiran serta air menerusi tangki takungan.

“Dahulu, saya memang bekerja membantu membersihkan rumah orang, namun selepas menghidap penyakit buah pinggang saya tidak lagi bekerja.

“Kami dua beranak hanya mengharapkan belas kasihan daripada keluarga dan orang ramai,” jelasnya.

Saadiah menjelaskan, mereka berdua tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).

“Hanya menggunakan bantuan ini kami dua berbelanja. Namun kami berdua bersyukur kerana duit ini boleh menampung untuk mem­beli makanan harian,” katanya lagi.

TBS sejak April 2012 menyalurkan bantuan sara hidup kepada keluarga terbabit bernilai RM150 sebulan.

Semalam, Timbalan Pengurus Besar TBS Bolhassan Iskandar Taibi tampil menyerahkan bantuan tersebut kepada Saadiah.