Kes tembak enam ditahan

1

DIREMAN: Keenam-enam suspek dibawa masuk ke Balai Polis Pusat Miri petang kelmarin.

MIRI: Polis petang kelmarin menahan enam lelaki untuk membantu siasatan berhubung kes tembakan menggunakan senapang angin di Jalan Kubur Sungai Rait, Bakam pada 3 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee mengesahkan penahanan suspek di lokap Balai Polis Pusat Miri.

Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Senjata Api 1960.

Pada 3 Julai, sekitar jam 3.30 petang, sepasang suami isteri ditemani seorang rakan yang dalam perjalanan pulang menggunakan Proton Wira telah ditahan oleh sebuah lori sampah.

Lori sampah itu membawa enam lelaki di mana pemandunya keluar bersama selaras senapang angin.

Si isteri mengalami lebam di dahi akibat terkena tumbukan ketika cuba meleraikan pergelutan di antara suaminya dan pemandu lori terbabit yang turut melepaskan satu das tembakan ke arah kenderaan mangsa ketika memecut dari tempat kejadian.

Mereka bernasib baik kerana tembakan itu hanya terkena cermin kereta bahagian pemandu.

Siasatan awal mendapati, pemandu lori itu berang kerana ditegur membawa lori dengan laju sehingga hampir melanggar kereta mangsa.

Suspek dipercayai menggunakan senapang angin buatan sendiri dengan guli sebagai pelurunya.