Sokongan dermawan hidupkan aktiviti kebajikan

0

NIKMATI BERSAMA: Rosey (lima kanan), Fatimah (tujuh kanan) bersama tetamu menyerahkan sumbangan kepada salah seorang wakil penerima di Masjid Darul Ehsan semalam.

Rosey puji inisiatif PERKIM Miri dapatkan sumbangan derma, agih bantuan kepada mereka yang layak

Oleh Steve Annuar //

MIRI: Keprihatinan dermawan membantu menghidupkan peranan golongan sukarelawan dan pertubuhan kebajikan membantu golongan kurang bernasib baik.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus berkata, sokongan penderma juga membantu kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meringankan beban hidup mereka yang susah.

“Kita amat menghargai sokongan yang diberikan oleh para dermawan selama ini. Sokongan mereka membolehkan kita melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan,” jelas Rosey.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis sumbangan kebajikan bulan Ramadan daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Miri di Masjid Darul Ehsan Piasau, semalam.

Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu memuji usaha aktif PERKIM Miri mendapatkan sumbangan derma dan mengagihkan bantuan kepada mereka yang layak.

Beliau berharap usaha murni PERKIM dapat dicontohi oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain di sini untuk bersama turun padang membantu golongan memerlukan.

Bantuan barangan keperluan dapur yang diagihkan semalam dapat mengurangkan perbelanjaan penerima sepanjang bulan Ramadan.

Rosey turut mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM3,000 kepada PERKIM Miri.

Sementara itu, Pengerusi PERKIM Miri Sharifah Fatimah Tuanku Fauzi memberitahu, seramai 180 penduduk dari 13 zon di sini menerima bantuan semalam.

Mereka terdiri daripada ibu tunggal, balu, warga emas, orang kurang upaya, pesakit dan golongan miskin.

Hadir sama Temenggung Abdul Rahman Fadzail, Pemanca Abang Mohamed Dato Sri Abang Othman, Penghulu Sameon Gani, Penghulu Samat Alip, Ketua TBS Miri Marini Juraibi dan isteri Ahli Parlimen Sibuti Dayang Lily Abang Indeh.