Murid asrama ‘dahagakan’ air

0

MARUDI: Penghuni asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Good Shepherd di sini berdepan dengan masalah kekurangan air paip yang agak teruk hingga terpaksa bergantung kepada bantuan yang dihantar oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Marudi.

Masalah tersebut telah membelenggu pihak sekolah itu sejak dua tahun lalu, hingga menimbulkan kesukaran kepada murid-murid asrama di sekolah tersebut.

Sepanjang tempoh berkenaan, mereka kerap bergantung kepada air hujan, bagaimanapun masalah tersebut semakin sukar berikutan kemarau yang berpanjangan di daerah ini sejak beberapa minggu lalu.

Keadaan tersebut menyebabkan pihak sekolah terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan JKR di sini.

Menurut jurucakap pihak sekolah yang enggan namanya didedahkan, meskipun sekolah tersebut terletak hanya beberapa kilometer dari pekan Marudi namun mereka sukar mendapat bekalan air yang mencukupi disebabkan tekanan air yang terlalu rendah.

Menurut beliau, paling menerima tempias ekoran situasi tersebut adalah penghuni asrama, kerana kerap kali tidak cukup air untuk mandi dan mencuci pakaian mereka.

“Masalah seperti ini telah dialami murid-murid asrama sejak lebih dua tahun lalu dan tidak ada cara lain untuk mendapatkan bekalan air, selain hanya bergantung kepada air hujan dan bantuan daripada pihak JKR,” jelasnya.

Sementara bekas jurutera JKR Marudi yang pernah membantu menangani masalah air di sekolah berkenaan, Fadil Kawi, memberitahu Utusan Borneo bahawa pihaknya pernah membantu menyampaikan permohonan SK Good Shepherd itu ke peringkat atasan.

Beliau yang kini bertugas di JKR Miri memberitahu bahawa projek sambungan paip air ke sekolah itu baharu sahaja diluluskan dan kerja menjalankan pembinaan paip itu akan diserahkan kepada kontraktor yang dilantik.

“Sebaik projek paip air siap dibina kelak, maka SK Good Shepherd akan mempunyai bekalan air bersih dengan tekanan yang tinggi berbanding ketika ini,” jelasnya.

Sehubungan itu Fadil berharap pihak sekolah akan bersabar menunggu projek pemasangan sambungan paip air tersebut, yang dijangka akan siap tidak lama lagi.