Site Last Updated 9:47 am, Tuesday

256 lelaki ditipu

Posted on July 8, 2014, Tuesday

Oleh Sandy Mark Luna //

SIDANG MEDIA: Firdaus menunjukkan bahan bukti kes penipuan membabitkan 256 mangsa dan kerugian RM89,600 semalam.

Penganggur tawar peluang pekerjaan bergaji lumayan di Qatar yang sebenarnya tidak wujud, sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM89,600

KUCHING: Hasrat 256 lelaki untuk bekerja sebagai kru pesisir pantai (offshore) di Timur Tengah yang menawarkan pendapatan lumayan, hancur berkecai apabila menyedari mereka ditipu seorang penganggur dari Sarikei.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Superintenden Mohd Firdaus Abdullah, polis telah menerima 23 laporan berhubung kes penipuan peluang pekerjaan yang membabitkan jumlah kerugian RM89,600, dalam tempoh 1 Julai hingga 6 Julai.

Jelasnya, umur mangsa terlibat adalah berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 58 tahun, rata-rata tinggal di Sri Aman, namun terdapat juga mangsa dari Betong dan Kuching yang terperdaya dengan modus operandi suspek yang menawarkan peluang pekerjaan luar pantai di negara Qatar dengan gaji 12 Euro sejam.

“Suspek menjalankan aktiviti penipuannya dengan mengadakan jerayawara di daerah Sri Aman bertujuan menawarkan peluang pekerjaan ‘offshore’ kepada mangsa dengan gaji yang lumayan.

“Mangsa-mangsa dikehendaki membayar RM350 bagi urusan pasport dan visa, di mana kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM89,600 dan mangsa turut ditawarkan RM20,000 sebagai bayaran pendahuluan sebelum berlepas ke Qatar,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat JSJK di sini, semalam.

Firdaus memberitahu, mangsa-mangsa yang hanya menyedari diri ditipu apabila tidak ada sebarang berita daripada suspek mengenai peluang pekerjaan dijanjikan meskipun setelah bayaran secara tunai dan melalui akaun bank suspek, akhirnya membuat laporan polis berhubung kes tersebut.

Susulan laporan-laporan itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman diketuai Inspektor Marcel Ireneus menangkap seorang penganggur berusia 27 tahun pada 4 Julai dan telah ditahan reman sehingga hari ini (8 Julai).

“Suspek seorang lelaki berusia 27 tahun yang juga seorang penganggur berasal dari Sarikei, telah mula menjalankan kegiatannya sejak awal April tahun ini dan telah diberkas oleh sepasukan anggota polis JSJK IPD Sri Aman pada 4 Julai.

“Dia yang dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kini direman sehingga 8 Julai 2014,” katanya.

Perakuan akan dibuat kepada kamar timbalan pendakwa raya supaya suspek dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Polis turut merampas pelbagai dokumen termasuk salinan kad pengenalan mangsa, salinan buku bank, resit-resit kemasukan wang dan gambar mangsa dari sebuah rumah di Sri Aman.

Dalam pada itu, Firdaus menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati supaya tidak mudah terpengaruh dengan individu terutama yang menggunakan nama syarikat-syarikat terkenal untuk mendapatkan pekerjaan.

Beliau turut menasihati para belia supaya jangan mudah terpedaya tanpa membuat usul periksa tentang kesahihan tawaran pekerjaan tersebut.

“Sebelum ini, polis turut menerima laporan di kawasan lain di Sarawak termasuk di Sibu, Bintulu dan Miri berhubung sindiket-sindiket mahupun individu yang menipu dengan modus operandi sama dan kebanyakan mereka yang menipu ini telah dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.