Cubaan seludup masuk minyak sawit gagal

0

Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Taktik menyembunyikan minyak sawit dari negara jiran untuk diseludup ke negara ini menerusi tangki fiber gagal apabila dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau.

Menurut Komander PPM Sabah ACP Mohamad Madun, rampasan bernilai kira-kira RM405,000 itu dikesan pasukannya di perairan Sabindo di sini kira-kira jam 7.45 pagi.

“Minyak sawit ini diangkut menggunakan sebuah vessel yang berlabuh di kawasan laut Sabindo,” katanya menerusi kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata, PPM Tawau yang menahan vessel terbabit menerusi Op Cantas Khas mengesan empat petak tangki fiber berisi muatan kira-kira 15 tan minyak sawit mentah.

Hasil siasatan menunjukkan minyak sawit yang belum diproses terbabit diperolehi dari negara jiran untuk menampung permintaan pasaran tempatan.

“Kita turut menahan seorang juragan warga Indonesia berusia 28 tahun dan seorang anak kapalnya untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad berkata, juragan terbabit didapati gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan dari Lembaga Minyak Sawit Malaysian (MPOB).

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Peraturan 5 (1) (1) Peraturan-Peraturan Lembaga Sawit Malaysia dan P. U (A) 516/ 2005.

Dalam perkembangan berasingan, PPM Tawau merampas pelbagai barangan seperti ubat-ubatan dan jamu yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000 dari sebuah feri penumpang.

“Rampasan dibuat pada hari sama kira-kira jam 10.15 pagi di kawasan laut Sg Tongkang Pulau Sebatik dari sebuah feri penumpang yang bertolak dari Nunukan, Indonesia,” katanya.

Menurut Mohamad, barang-barang terbabit dirampas semasa pasukannya menjalankan tugasan Op Paradise dan memeriksa tujuh kotak yang mencurigakan di feri penumpang itu.

Beliau berkata, PPM Tawau merampas kesemua barangan terbabit kerana didapati tidak ada sebarang label kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia pada produk-produk berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Dadah dan Kosmetik kerana tidak mempunyai kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.