Site Last Updated 6:46 am, Thursday

Jangan gunakan kehakiman jika sayangkan parti: Chin

Posted on July 8, 2014, Tuesday

Sebarang masalah harus diselesai dalam kalangan ahli SUPP bukannya melibatkan kuasa kehakiman

APA KHABAR: Chin (tengah) berjabat tangan dengan Wee. Turut kelihatan Dr Sim (dua kanan) dan Foo (kanan).

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin dengan tegas menyatakan bahawa sebarang masalah yang timbul dalam parti harus diselesaikan dengan baik dalam kalangan ahli bukannya melibatkan kuasa kehakiman.

“Jika anda sayangkan parti, anda tidak akan mengheretnya ke mahkamah…jika kita ada melakukan kesilapan, kita akan memperbetulkannya dan tidak perlu membawanya ke mahkamah.

“Itu yang seharusnya dilakukan apabila anda sayangkan parti,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 SUPP Cawangan Pending dan Ke-55 SUPP di sini malam Ahad lepas.

Chin menambah, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah menjelas dan mengumumkan bahawa parti (SUPP) adalah sah dari segi undang-undang tetapi masih ada cubaan beberapa ahli mengemukakan rayuan menentang keputusan itu.

Justeru beliau mempersoalkan agenda beberapa individu yang memfailkan semakan semula perundangan di Mahkamah Tinggi mencabar keputusan ROS iaitu tidak membatalkan pendaftaran SUPP baru-baru ini.

“Adakah mereka melakukannya kerana sayangkan parti? Kerana saya tidak dapat melihat ia dibuat kerana sayangkan parti.

“Apa yang dapat saya bayangkan ialah yuran perundangan yang mahal bakal ditanggung jika perkara ini dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau menekankan kepentingan disiplin tinggi dalam parti kerana SUPP tidak dimiliki oleh beliau sebagai seorang individu.

Jawatankuasa disiplin bebas yang diketuai bekas ADUN Bengoh William Tanyuh Nub tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas ahli-ahli parti yang melanggar disiplin seperti termaktub dalam perlembagaan parti, tambahnya.

Hadir sama, Setiausaha Agung SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian, Pengerusi  Jawatankuasa Pengurusan Kuching Chung Hua Middle School No.1, 3 dan 4 Richard Wee dan pengerusi penganjur Milton Foo.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.