Lelaki maut kenderaan bertembung lori treler

0

Oleh Johan Aziz //

KEADAAN Proton Wira yang dipandu mangsa selepas kemalangan itu.

KENINGAU: Seorang lelaki tempatan maut apabila kenderaan yang dipandunya bertembung sebuah treler yang sarat dengan muatan simen dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 7 Jalan Keningau-Apin-Apin, berhampiran sebuah stesen Shell, di sini awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Robert Salisip @David berkata, mangsa dikenali Masirin Enin, 31, bekerja sendiri dan berasal dari Kampung Luagan di sini.

Katanya, kemalangan itu membabitkan kereta Proton Wira yang bergerak dari arah pekan Keningau dipandu mangsa, manakala lori treler yang sarat dengan muatan simen dipandu oleh seorang rakyat tempatan berumur 51 tahun yang bergerak dari arah bertentangan. Kejadian berlaku  jam 6.40 pagi.

“Tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa memasuki lorong sebelah kanan, lalu terlanggar pada bahagian hadapan sebelah kanan lori itu.

“Akibat dari perlanggaran itu, lori itu berpusing dan masuk ke dalam parit di sebelah kanan dan pemandunya tidak mengalami kecederaan, manakala kereta yang dipandu mangsa remuk teruk di bahagian hadapan pemandu,” katanya.

Robert berkata mangsa dibawa ke Hospital Keningau dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian dada, pinggang dan kaki yang dialaminya ekoran perlanggaran itu.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati kawasan kemalangan adalah jalan lurus, tempat pelanggaran pertama berlaku di laluan lori di mana kereta mangsa masuk ke laluan itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.45 pagi dan sebuah kenderaan bersama enam anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi terbabit, kita mendapati seorang mangsa berada dalam keadaan kritikal tersepit di ruang pemandu kenderaan Proton Wira berkenaan. Kita menggunakan alat penyelamat untuk mengeluarkan mangsa dan dia diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke Hospital Keningau,” katanya.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan keadaan trafik sesak akibat longgokan karung simen yang bertaburan di permukaan jalan raya. Setelah simen berkenaan dialihkan, keadaan trafik kembali normal dan operasi tamat pada jam 7.44 pagi.

Sementara itu, Robert berkata satu  lagi kemalangan berlaku di Jalan Bariawa di sini melibatkan sebuah bas sekolah, sebuah Toyota Vigo dan sebuah Perodua Myvi.

Katanya, kenderaan Perodua Myvi dipandu oleh seorang pemuda berusia 21 tahun yang bergerak dari arah SM Ken Hwa membelok masuk ke simpang kanan ke arah sebuah taman perumahan, dilanggar oleh sebuah bas sekolah yang datang dari arah hadapan (jalan utama).

“Akibat perlanggaran itu, kenderaan Myvi terseret dan terkena pada Toyota Vigo yang berhenti di simpang taman perumahan itu. Kemalangan tidak melibatkan kecederaan tetapi hanya kerosakan kecil sahaja,” katanya.