Op Cantas dijalankan secara besar-besaran

0

Oleh Amir Anuar //

PEMERIKSAAN Op Cantas dijalankan secara besar-besaran di lima lokasi strategik di sekitar Daerah Tawau.

TAWAU: Polis memeriksa lebih 500 kenderaan menerusi Op Cantas yang dijalankan secara besar-besaran selama lima jam di lima lokasi berasingan di sini awal pagi kelmarin.

Lima lokasi yang terbabit dalam sekatan jalan adalah di Jambatan Putih, Batu 1½ Jalan Apas, Jalan Kuhara, Batu 4 Jalan Timur dan Batu 4 Jalan Apas.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata, kenderaan yang diperiksa terdiri daripada 65 motosikal, 253 kereta, 132 pacuan empat roda dan 48 lori.

“Turut diperiksa adalah tiga teksi, empat van, enam bas dan lain-lain sebanyak 16 buah,” katanya sambil mengesahkan tidak ada rampasan dan tangkapan dibuat dalam operasi itu.

Bagaimanapun, Awang menegaskan 39 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan seperti mengubah-suai kenderaan dan tidak memiliki lesen memandu.

Beliau berkata, operasi terbabit dijalankan untuk mengenalpasti dan mengesan individu-individu yang dikehendaki kerana terlibat dalam kes jenayah, narkotik dan pesalah trafik.

“Kita juga memantau penunggang dan motosikal-motosikal yang mencurigakan termasuk kenderaan lama kerana peningkatan kes kehilangan kenderaan-kenderaan itu di daerah ini.

“Operasi ini melibatkan kekuatan seramai 60 pegawai dan anggota dari semua unit seperti Trafik, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Siasatan Jenayah, Narkotik, dan Pasukan Sukarelawan Simpanan Polis,” katanya.