Pengawal keselamatan ditahan cabul dua budak perempuan

0

Oleh YUSOP TEPPO

 

SANDAKAN: Seorang pengawal keselamatan taman perumahan di Batu 7 ditahan polis selepas didakwa mencabul dua kanak-kanak perempuan di sebuah rumah kosong di flat taman perumahan berkenaan dalam kejadian petang Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, pengawal keselamatan terbabit ditahan oleh polis pada Isnin lepas sejurus laporan dibuat oleh ibu mangsa yang berumur 25 tahun.

“Dalam kejadian kira-kira 3 petang Sabtu lepas, seorang lelaki yang bertugas sebagai pengawal keselamatan memanggil tiga kanak-kanak perempuan berumur lima, lapan dan 10 tahun yang sedang bermain di taman permainan di kawasan taman perumahan itu.

“Suspek kemudiannya membawa tiga budak perempuan itu ke satu rumah kosong di tingkat dua flat di situ. Apabila tiba di rumah kosong itu, suspek bertindak meraba kemaluan dan menghisap puting susu dua budak perempuan yang berumur lima dan lapan tahun itu,” katanya.

Rowell berkata, seorang lagi budak perempuan yang berumur 10 tahun itu menyaksikan kejadian berkenaan sebelum menarik keluar seorang rakannya itu yang berumur lapan tahun dari rumah kosong itu lalu menjerit.

Katanya, suspek yang ketakutan kemudiannya melarikan diri dari rumah kosong berkenaan.

Beliau berkata, ibu mangsa yang mengetahui kejadian itu kira-kira jam 7 malam pada Ahad, selepas balik dari Kota Kinabalu untuk bertemu dengan suaminya yang bekerja di sana, kemudiannya membuat laporan polis.

Suspek akan disiasat mengikut seksyen 354 Kanun Keseksaan.