Polis rampas lebih 90 komputer judi haram

0

Oleh SITI AISYAH NARUDIN

RATAN (depan) memeriksa sebahagian set komputer yang dirampas bersama pegawai polis yang lain.

PENAMPANG: Lebih 90 buah komputer yang diubah suai untuk operasi perjudian haram berjaya dirampas dalam serbuan di beberapa pusat siber sekitar daerah ini dan Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Ratan Kumar Singh berkata, dalam operasi yang dijalankan pada 3 hingga 6 Julai lepas, empat premis di Penampang dan Putatan diserbu.

Katanya, ia melibatkan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu dan Penampang.

“Dalam operasi pertama dan kedua pada 3 Julai lepas, kita menyita sebanyak 62 buah komputer yang diubah suai dan wang tunai berjumlah RM183 turut dirampas dipercayai hasil keuntungan daripada aktiviti haram terbabit.

“Ia melibatkan dua premis di kawasan Light Industrial Tombovo di Putatan. Empat lelaki dipercayai penjaga di premis itu ditahan dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 10 malam itu,” katanya kepada media di sini kelmarin.

Ratan berkata, dalam serbuan ketiga yang dijalankan di sebuah premis di Taman Jumbo Penampang pada 4 Julai lepas, dua lelaki yang menjaga premis itu turut ditahan.

Pihaknya merampas sebanyak 17 buah set komputer bersama wang tunai RM30 hasil daripada aktiviti perjudian yang dijalankan di premis itu.

Menurutnya, sebanyak 12 buah set komputer yang diubah suai dirampas dalam serbuan kali keempat bersama wang tunai berjumlah RM140 melibatkan sebuah premis di Putatan Jaya pada 6 Julai lepas.

“Dalam serbuan ini juga, kita menahan seorang lelaki yang dipercayai penjaga premis itu. Kesemua tujuh yang ditahan berumur lingkungan 17 hingga 25 tahun.

“Mereka direman untuk membantu siasatan polis manakala komputer yang dirampas dibawa ke IPK untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Ratan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan pihaknya menggiatkan usaha untuk membanteras kegiatan perjudian haram di kedua-dua daerah.

Justeru, pihaknya mahu orang awam memberikan kerjasama bagi membantu polis membanteras aktiviti haram terbabit.

Selain itu, beliau turut menyatakan penghargaan kepada orang awam yang memberikan maklumat kepada polis.