MARUDI: Ahli jawatankuasa kecil bagi acara Malam Kebudayaan 1Malaysia yang akan diadakan sempena sambutan Hari Regata Baram mengadakan mesyuarat sebagai persiapan terakhir mereka kelmarin.
Malam Kebudayaan 1Malaysia dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 24 Ogos depan.
Mesyuarat yang lebih kepada taklimat mengenai proses persiapan akhir jawatankuasa itu, telah diadakan di bilik mesyuarat Majlis Daerah Marudi di sini dan turut dihadiri Ahli Parlimen Baram yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malam Kebudayaan 1Malaysia Anyi Ngau.
Turut hadir bagi mendengar taklimat tersebut ialah Menteri Muda Kemudahan Awam merangkap Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) yang juga Pengerusi Induk Regata Baram 2014 Datuk Sylvester Entri Muran.
Malam Kebudayaan 1Malaysia Regata Baram akan diadakan pada malam 23 Ogos depan, bermula dari jam 7.30 malam.
Selain taklimat, mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai masalah-masalah berbangkit yang memerlukan penyelesaian segera, sebelum program lumba perahu terbesar di utara negeri ini bermula.
Turut hadir pada sesi taklimat dan mesyuarat tersebut ialah para pegawai dan penaripenari daripada Kementerian Pembangunan Sosial Bahagian Miri yang diketuai oleh pegawainya Arni Lukong.