GERAKAN P.Pinang bidas KM tidak cekap tangani isu PIA

0

GEORGE TOWN: GERAKAN Pulau Pinang semalam membidas Ketua Menteri Lim Guan Eng kerana bersikap acuh tak acuh dalam mengendalikan isu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Setiausahanya Oh Tong Keong berkata Lim dilihat hanya berminat untuk bermain politik dalam isu penting itu sedangkan ia membabitkan masa depan pembangunan Pulau Pinang.

“Jika Lim serius untuk menyelesaikan isu PIA, beliau tidak akan melengahkan isu itu sehingga tiga minggu sebelum menulis surat kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) meminta peruntukan RM600 juta untuk cadangan membesarkan PIA.

“Malangnya, surat itu tidak disertakan sekali dengan rangka tindakan atau maklumat tambahan oleh kerajaan pimpinan DAP itu tentang bagaimana lapangan terbang itu akan diperluaskan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Oh berkata keperluan segera PIA ialah memperbesar kawasan lapangan terbang dan menaik taraf kemudahannya, tetapi bukan landasan tambahan seperti yang diminta oleh kerajaan negeri.

Oh juga membidas Lim kerana memberi tanggapan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membantah terhadap cadangan pembinaan lapangan terbang di Kulim, asalkan PIA dinaik taraf.

Beliau mendesak Lim agar memberi penjelasan dan memberitahu warga Pulau Pinang berhubung pendiriannya mengenai lapangan terbang baharu di Kulim, jika kerajaan persekutuan meluluskan RM600 juta untuk pembinaan lapangan terbang itu.

Beliau berkata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow telah berulang kali mengingatkan Lim tentang kesilapannya dan seharusnya Lim berjumpa orang yang sepatutnya untuk menyelesaikan keadaan itu. — Bernama