Hentikan spekulasi Abdul Khalid letak jawatan: Azmin

0

SHAH ALAM: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor Mohamed Azmin Ali meminta semua pihak menghentikan sebarang spekulasi peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata isu pertukaran Menteri Besar itu bukan keperluan dan agenda utama parti buat masa ini.

“Saya nasihatkan hentikan semua spekulasi, kita ajak pimpinan dan anggota parti untuk tumpu kerja membangunkan negeri Selangor.

“Di bulan Ramadan yang mulia ini jangan kita lontarkan fitnah, jangan buat serangan peribadi dan kita kerja sebagai satu pasukan untuk bantu rakyat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BBC Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Berita peletakan jawatan Abdul Khalid mula tersebar sejak malam Ahad lepas melalui pelbagai aplikasi sosial termasuk Whatsapp.

Kandungan maklumat itu menyatakan Abdul Khalid akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Mengulas mengenai mesyuarat kelab itu yang didakwa turut mencapai kata sepakat bagi menyatakan undi tidak percaya terhadap Abdul Khalid, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), menafikannya.

“Pilihan raya sudah selesai, keputusan telah dibuat dan sekarang masa untuk kerja.

Bila ada keperluan untuk membincangkan perkara (pertukaran MB) itu kita akan bincang secara kolektif,” katanya. — Bernama