Penguatkuasaan bendung kegiatan mengemis

0

Oleh Steve Annuar

MIRI: Penguatkuasaan lebih meluas polis dapat membendung kegiatan mengemis daripada menular dan menjadi masalah yang membebankan pihak berkuasa.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai (gambar) menyifatkan kegiatan tersebut sebagai masalah sosial yang harus dibantu untuk diatasi bersama agar nasib golongan berkenaan dapat dibela.

“Tugas untuk menangkap peminta sedekah dilakukan oleh pihak polis.

“Kami (MBM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mempunyai kuasa untuk menangkap mereka.

“Untuk makluman anda, kami sentiasa mengadakan perbincangan dengan polis dan kegiatan mengemis di sini merupakan antara isu yang dibangkitkan,” katanya ditemui di sini semalam.

Sehubungan itu, Lawrence mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menyumbang wang kepada peminta-peminta derma yang bergerak secara berkumpulan di sekitar bandar raya ini sekarang.

Kumpulan ini dikhuatiri menyamar sebagai wakil pertubuhan kebajikan sama ada dari dalam mahupun luar negeri dengan mendapat derma untuk kegunaan diri sendiri.

“Mereka yang ingin mengutip derma daripada orang awam harus terlebih dahulu mendapatkan permit atau lesen kutipan derma daripada Residen Miri.

“Mereka harus menyerahkan juga tiga gambar individu yang layak untuk mendapatkan derma daripada penduduk,” jelasnya.

Selain itu, Lawrence memberi amaran kepada penduduk untuk tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan cepat kaya yang diedarkan menerusi risalah atau salinan kertas risalah diedarkan kepada mereka.

Beliau memberitahu, banyak menerima e-mel aduan daripada penduduk selain dimaklumkan kes-kes penipuan dilaporkan kepada polis.

“Nasihat saya ialah jangan terlalu tamak. Sikap ini akan memakan diri anda sendiri,” katanya.