Pusat judi lumba kuda: Tiga NGO serah memorandum bantahan

0

SHAH ALAM: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar Selangor berhubung isu pembinaan sebuah pusat judi lumba kuda terbesar di Asia di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM) menyerahkan memorandum bantahan itu dengan diiringi oleh 10 ahlinya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Memorandum itu diserahkan oleh Pengerusi IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Mohamad Yasid Bidin disaksikan Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah dan Presiden LPPM Abdul Aziz Ismail.

Amir Amsaa berkata, memorandum itu antara lain mendesak kerajaan negeri Selangor supaya menghentikan pembinaan pusat judi lumba kuda itu.

Beliau berkata alasan diberikan pihak pemaju bahawa pembinaan pusat judi ini mendapat sokongan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada penduduk Melayu setempat melalui kaji selidik dijalankan oleh sebuah universiti tempatan adalah tidak berasas dan tidak relevan.

“Pembinaan pusat judi lumba kuda ini akan membawa kesan buruk kepada masyarakat negara ini, di mana kita masih dibelenggu oleh masalah perjudian yang sehingga sekarang masih tidak boleh diatasi,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Amir Amsaa berkata pihaknya juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, Khamis lepas berkenaan isu ini.  — Bernama