Tindakan membisu PAS jadi tanda tanya

0

KUALA LUMPUR: Tindakan PAS yang masih membisu berhubung isu kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan berlaku percanggahan pendapat di kalangan pimpinan pusat dan negeri dalam parti itu, menurut pendapat penganalisis politik.

Malah dalam satu pertemuan antara pemimpin PAS Pusat dan Selangor di ibu pejabat PAS di sini untuk membincangkan isu politik Selangor, kelmarin, dilihat tidak dapat mencapai keputusan berhubung tindakan beberapa pihak dalam PKR mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatan Menteri Besar Selangor selepas kalah dalam pemilihan Ketua PKR Cabang Kuala Selangor bulan lepas.

Bagi penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, tindakan PAS yang masih belum menyatakan pendirian berhubung kedudukan menteri besar itu memperlihatkan dua pihak dalam parti itu, satu menyokong Abdul Khalid digugurkan manakala satu pihak lagi mahu beliau mengekalkan jawatan itu.

“Pimpinan PAS juga dilihat tidak dapat mencapai kata sepakat untuk menyokong Abdul Khalid digugurkan atau sebaliknya kerana mereka bimbang jika pengganti menteri besar adalah bukan dari kalangan mereka selepas ini, beberapa masalah lain akan timbul,” katanya kepada Bernama.

Pandangan yang sama turut dikongsi Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Prof Dr Ahmad Atory Hussain yang menyatakan bahawa konflik turut berlaku dalam pimpinan PKR pusat dan negeri.

“Isu ini timbul apabila terdapat pemimpin PKR sendiri yang mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatan sebagai menteri besar untuk memberi laluan kepada pemimpin pilihan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Atory berpendapat pimpinan PAS masih tidak memberi sebarang maklum balas mengenai pendirian mereka terhadap Khalid kerana memerlukan masa untuk meneliti dan mengkaji perkembangan terkini landskap politik Selangor kerana isu itu melibatkan banyak pihak.

Menyentuh ura-ura Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang baharu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail antara nama yang disebut-sebut bakal pengganti Khalid untuk jawatan Menteri Besar Selangor, Sivamurugan berpendapat perkara itu bergantung kepada keputusan pihak pembangkang.

“Jika mereka membuat keputusan untuk menggugurkan Abdul Khalid, adakah keputusan itu dibuat untuk kepentingan rakyat atau hanya bagi menyenangkan sesetengah pemimpin mereka? “Jika rakyat sudah menyenangi kepimpinan Abdul Khalid, beliau patut terus saja mengendalikan Selangor sehingga habis penggal,” katanya.

Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar adalah antara pemimpin PKR yang secara terbuka mendesak Abdul Khalid melepaskan jawatannya selepas tewas dalam pemilihan Ketua PKR Cabang Kuala Selangor.

Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang daripada PKR mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Pada PRU13, pakatan pembangkang memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, meningkat daripada 36 kerusi yang diperoleh pada 2008.

PKR menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi.

BN memenangi 12 kerusi. — Bernama