Mousticide jadikan jejentik aedes mati kebuluran

0

Kaedah pengawalan paling berkesan kerana ia menyasarkan bahagian paling lemah pada nyamuk

KUALA LUMPUR: Usaha membanteras demam denggi di Malaysia dijangka menjadi lebih berkesan dengan terhasilnya satu produk yang boleh mengakibatkan jejentik nyamuk aedes mati kebuluran.

Produk dikenali sebagai Mousticide itu, dihasilkan secara khusus oleh syarikat bioteknologi terkemuka Entogenex Industries Sdn Bhd (Entogenex) bagi mengawal wabak itu.

Lapan tahun lepas, syarikat itu menyahut cabaran untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan tentang produk berkenaan serta membelanjakan berbilion ringgit sebelum menemui penyelesaian tepat bagi memerangi demam denggi.

Pengerusi Eksekutif Entogenex Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar berkata cabaran menghapuskan wabak denggi terletak dari segi kemampuan mengawal nyamuk aedes daripada membiak, yang beliau sifatkan sebagai ‘bukan tugas mudah’ memandangkan kitaran hidup tujuh hari nyamuk itu seolah-olah mustahil untuk ditamatkan.

“Daripada hanya 50 nyamuk dewasa, lebih 90 juta boleh muncul selepas 60 hari.

“Mousticide adalah kaedah pengawalan paling berkesan kerana ia menyasarkan bahagian paling lemah pada nyamuk,” katanya pada sidang akhbar untuk memperkenalkan produk itu di sini, semalam.

Beliau berkata Mousticide dihasilkan dalam dua format pakej iaitu Mousticide RH dan Mousticide WP, dengan Mousticide WP hanya dijual secara pukal kerana ia perlu dilarutkan di dalam air sebelum digunakan dengan mesin penyembur.

“Mousticide RH mengandungi bahan aktif yang disalut pada sekam padi kering.

Pengguna hanya perlu memasukkan secubit sekam berkenaan ke dalam tempat takungan air seperti pasu, kolam atau longkang dan ia akan dimakan jejentik, menjadikannya amat mudah untuk digunakan,” kata beliau.

Tunku Naquiyuddin berkata Mousticide mengandungi ‘Trypsin Modulating Oostatic Factor’ (TMOF), hormon peptid semula jadi yang menghalang pencernaan jejentik.

“Kejayaan besar TMOF dari segi fungsi biolarvisid be r tujuan mengha l ang pengeluaran enzim pencernaan tryspin yang sangat penting dalam jejentik dan tanpa trypsin, pencernaan tidak boleh berlaku dan dengan itu, jejentik akan mati kebuluran,” katanya.

Beliau berkata Mousticide juga mengandungi satu lagi laversid semula jadi nyamuk dikenali sebagai Bacillus Thuringiensis Israelensis untuk meningkatkan keberkesanannya bagi menghasilkan biolarvisid yang boleh membunuh 100 peratus jejentik dalam masa sejam, dengan setiap penggunaan boleh bertahan hingga kira-kira empat minggu.

Oleh kerana TMOF adalah hormon yang lahir secara semula jadi, ia mesra alam dan tidak membahayakan organisme lain termasuk haiwan ternakan, tumbuh-tumbuhan dan manusia, katanya.

Sementara itu, pengasas dan pengarah Entogenex Marcus Francis berkata Mousticide telah melalui ujian lapangan di tiga blok pangsapuri 17 tingkat di Setapak, yang disenaraikan sebagai ‘titik utama’ denggi.

“Hasilnya menunjukkan tiada kes denggi direkodkan dalam tempoh pengawasan selama lima minggu,” katanya sambil menjelaskan bahawa rakyat Malaysia boleh membeli produk itu secara dalam talian melalui www. Entogenex.com.

Menurutnya produk berkenaan telah memasuki Singapura dan perancangan sedang dibuat untuk mengedarnya ke India, Sri Lanka dan Myanmar.

Malaysia mencatat 44,518 kes denggi dari Januari hingga 28 Jun tahun ini, yang meningkat 246 peratus atau 31,660 kes berbanding 12,858 kes tahun lepas.

Dalam tempoh sama, 85 kematian dilaporkan di seluruh negara akibat penyakit itu berbanding 27 tahun lepas. — Bernama