Umat Islam diingat pilih restoran miliki sijil halal

1

KUALA LUMPUR: Umat Islam diingatkan supaya hanya makan di restoran memiliki sijil halal yang sah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Penolong Pengarah JAKIM, Mohamad Saidi Jaafar mengingatkan umat Islam supaya tidak terpedaya dengan premis yang menggunakan ungkapan ‘Halal’, ‘Buffet Ramadan’ dan ‘Promosi Berbuka Puasa’.

Ini kerana ungkapan-ungkapan seumpama itu termasuk dalam takrif halal, katanya.

“Perbuatan menggunakan ungkapan sedemikian dengan sewenang-wenangnya boleh dikenakan tindakan undangundang di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) dan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Hanya premis yang mendapat pengesahan pensijilan halal Malaysia oleh JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri sahaja boleh menggunakan ungkapan tersebut”, katanya kepada pemberita dalam Ops Bufet Ramadan di sini, semalam.

Operasi itu disertai oleh 16 orang pegawai dari JAKIM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), cawangan Petaling Jaya.

Dalam operasi itu, sebuah premis diserbu dan didapati tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri.

“Hasil risikan sendiri dan aduan orang ramai, kita telah menjalankan operasi ini sepanjang bulan Ramadan dan premis ini merupakan premis kedua yang kita serbu dan boleh dikatakan kritikal kerana ia menyajikan arak dan menyediakan set menu untuk umat Islam berbuka puasa,” kata Saidi.

JAKIM menyiasat kes premis tersebut di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 dan jika sabit kesalahan, premis itu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi individu.

Penalti untuk syarikat atau pertubuhan ialah denda sehingga RM5 juta.

Dalam serbuan yang sama, set menu dan sepanduk yang menggunakan ungkapan yang berkaitan dengan promosi Ramadan dirampas pihak berkuasa.

Pada Isnin lepas, menerusi Ops Bufet Ramadan, pihak JAKIM mengarahkan sebuah restoran di Jalan Loke Yew menghentikan tawaran bufet Ramadan di premis mereka kerana tidak mempunyai sijil halal yang sah dan menjual minuman keras. — Bernama