Pekebun kecil getah di Sabah layak terima bantuan khas

0

KOTA KINABALU: Semua pekebun kecil dan penoreh getah warganegara Malaysia yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Sabah layak menerima Bantuan Khas Akibat Kejatuhan Harga Getah (BKKH).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata, bantuan berkenaan disalurkan secara terus kepada pekebun kecil dan penoreh getah secara berperingkat bermula bulan Jun lepas hingga 31 Disember 2014.

Menurutnya, pihak LIGS sedang membantu Risda mengedarkan borang dan mendaftarkan pekebun kecil dan penoreh getah yang berjumlah seramai 27,606 di Sabah.

Justeru katanya, orang ramai diingatkan agar tidak keliru dengan kenyataan pihak tertentu yang mendakwa hanya pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan Risda sahaja yang layak menerima BKKH.

“Kerajaan negeri melalui LIGS masih lagi meneruskan Pembayaran Insentif Pengeluran Getah sebanyak 50 sen bagi setiap kilogram getah kering yang dikeluarkan oleh pekebun kecil getah.

“Skim insentif ini adalah untuk menggalakkan para pekebun kecil getah melaksanakan Amalan Pertanian Baik (Good Agricultural Practices) untuk meningkatkan hasil getah.

“Pada masa sama, insentif ini juga bertujuan menyamakan harga getah di Sabah dengan Semenanjung supaya dapat meringankan impak kepada pekebun kecil akibat daripada penurunan harga getah,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata, berikutan kejatuhan harga getah ke paras yang sangat rendah, kerajaan persekutuan mengambil langkah jangka pendek dengan pemberian BKKH kepada pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara termasuk di Sabah.

Bantuan khas sebanyak RM500 itu jelasnya, diberikan kepada setiap pekebun kecil getah dan penoreh getah secara ‘one off’ iaitu bayaran sekali sahaja.