Air mata ‘Pailang’

1

Oleh Rusnan Mustafa//

 

Menangis kesal, tiga pelajar diarah jalani pemulihan akhlak di Sekolah Tunas Bakti selama dua tahun.

KOTA SAMARAHAN: Tiga budak ‘pailang’ menangis kesal atas perbuatan mereka sebelum ini ketika Mahkamah Majistret di sini semalam mengarahkan mereka menjalani pemulihan akhlak di Sekolah Tunas Bakti (STB) selama dua tahun.

Majistret Sulhairil Sulaiman turut memerintahkan ketiga-tiga pesalah juvana itu menjalani hukuman serta-merta berkuat kuasa semalam dan mereka masing-masing ditempatkan di STB Miri, Melaka dan Terengganu.

Sementara menunggu proses pemindahan mereka ke STB berkenaan, ketiga-tiga juvana itu ditempatkan sementara di STB Telaga Air, dekat sini.

Selepas penghakiman dibacakan, ketiga-tiga juvana menangis dan meminta maaf kepada mahkamah dan ibu bapa mereka atas kesalahan yang dilakukan.

“Kami insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan ini. Maafkan kami,” kata mereka semasa membuat rayuan.

Malah, ketiga-tiga mereka turut merayu agar hukuman ditangguhkan selepas Hari Raya Aidilfitri, namun permohonan mereka ditolak.

Kesemua juvana hadir bersama ahli keluarga masing-masing yang turut kelihatan sedih sejurus keluar dari mahkamah semalam.

Pada 23 Jun lalu, ketiga-tiga pelajar perempuan terbabit dari sebuah sekolah menengah di Asajaya mengaku bersalah atas tuduhan mendatangkan kecederaan dengan sengaja ke atas seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dari sekolah yang sama.

Sebelum ini, mereka didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Selain didakwa menda-tangkan kecederaan, juvana pertama turut didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana dengan niat mengancam hendak menda-tangkan kecederaan ke atas pengadu.

Berdasarkan fakta kes, ketiga-tiga juvana mengaku memukul, menyepak dan menerajang serta menarik rambut mangsa yang dilaku-kan pada 25 April lalu sekitar jam 9.40 pagi di tingkat tiga berdekatan bilik makmal sebuah sekolah menengah di Asajaya.

Pada masa dan tempat yang sama, juvana pertama dikatakan mengugut mangsa supaya tidak memaklum-kan kepada sesiapa tentang kejadian itu dan sekiranya mangsa berbuat demikian, dia akan memukulnya semula.

Pada 26 Mei lalu sekitar jam 12.30 tengah hari sepasukan polis membuat tangkapan ke atas 10 suspek di sekolah berkenaan, Kampung Tam-bey, Kampung Melayu dan Kampung Sungai Mata.

Hasil siasatan hanya tiga pelajar iaitu ketiga-tiga juva-na terbabit didapati memukul pengadu.

Pendakwaan diwakili Tim-balan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif.