Lelaki maut tertembak diri sendiri ketika buru babi hutan

0

CHANGLUN: Seorang pemburu maut setelah tertembak diri sendiri ketika memburu babi hutan di Ladang Laka Selatan dekat sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintenden Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian pada kira-kira jam 6 petang itu, Teragi Anthony, 59, dari Pokok Sena sedang memburu bersama anak saudaranya, Jasbistih Anthony, 26 tahun sejak jam 3 petang.

Mangsa dipecayai tertarik picu senapang patah jenis Spanish miliknya semasa menunggang motosikal untuk mengesan lokasi babi hutan, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, mangsa mati di tempat kejadian setelah tembakan mengenai bahagian kiri kepalanya.

“Difahamkan mangsa telah menyuruh anak saudaranya itu tunggu di atas bukit di kawasan itu sementara mangsa menunggang motosikal sambil membawa senapang sebelum mangsa tertarik picu senapang itu,” katanya.

Abdul Rahim berkata keadaan jalan bukit yang berlopak-lopak berkemungkinan menyebabkan mangsa menunggang motosikal dalam keadaan yang sukar sambil memegang senapangnya.

Menurut Abdul Rahim mangsa memiliki lesen senjata api untuk memburu.

Sementara itu, Jasbistih berkata bapa saudaranya merupakan seorang pemburu yang mahir kerana sudah beberapa kali membawa pulang hasil buruan ke rumah dan dua hari lepas mangsa ada meminta untuk menemaninya masuk ke hutan untuk memburu babi hutan.

“Sebelum kejadian, dia minta saya tunggu di atas bukit setelah menyedari kehadiran babi hutan di kawasan cerun bukit ladang itu tetapi setelah beberapa ketika saya terdengar satu das tembakan kuat dari arah cerun bukit.

“Saya ingat dia berjaya menembak babi hutan tetapi tiada tanda-tanda darinya.

Jadi saya terus ke tempat kejadian dan terkejut apabila melihat dia terbaring kaku berlumuran darah dan terus menghubungi pihak polis,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat. — Bernama