Putih mata

0

SUSPEK: Antara rakaman CCTV yang menunjukkan suspek di tempat kejadian.

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Seorang lelaki berputih mata selepas gagal dalam cubaannya memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Tabuan Jaya di sini, semalam.

Menurut jurucakap polis, usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat pada mesin ATM tersebut serta beberapa kedai berdekatan.

“Usaha untuk mengenal pasti suspek setakat ini masih diteruskan dengan melihat semula rakaman CCTV pada mesin ATM tersebut serta beberapa kamera lagi di kedai-kedai berdekatan.

“Setakat ini, melalui rakaman CCTV yang ada, kita mengesyaki suspek seorang lelaki dan semasa melakukan kegiatan tersebut, didapati dia menutup mukanya dan membawa beberapa peralatan,” katanya.

Menurutnya lagi, kegiatan tersebut dilakukan sekitar jam 4 hingga 5 pagi semalam.

“Terdahulu, suspek dipercayai merosakkan sistem penggera keselamatan mesin ATM tersebut,” tambahnya.

Bagaimanapun, difahamkan cubaannya untuk memecah mesin ATM tersebut tidak berjaya kerana ia dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang berteknologi tinggi.

Sepasukan anggota polis dari balai polis berdekatan tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.