Salibasic, Hassan tidak ke Jakarta

0

Oleh Harry Ilias

Kedua-dua pemain import itu masih bergelut dengan kecederaan lama

KUCHING: Dua tonggak Sarawak, Muamer Salibasic dan Hassan Mohamed tidak akan menyertai rakan sepasukan menjalani latihan di Jakarta, Indonesia bermula esok kerana masih bergelut dengan kecederaan lama.

Ketua Jurulatihnya, Robert Alberts ketika mengesahkan perkara itu semalam berkata, beliau amat kecewa kerana kedua-dua pemain itu merupakan sandaran Sarawak untuk mengharungi kempen Piala Malaysia yang akan bermula pada bulan depan.

“Muamer dan Hassan tidak akan menyertai kita ke Jakarta kerana masih cedera.

Pada kiraan saya, mereka perlu berehat untuk sekurangkurangnya sebulan lagi sebelum dapat beraksi semula,” katanya di sini semalam.

Ketiadaan kedua-dua pemain itu akan merencatkan sedikit kempen pasukan Ngap Sayot kerana mereka akan terlepas perlawanan peringkat kumpulan.

Selain Muamer dan Hassan, pemain tengah Reshafiq Alwi juga tidak akan turut serta kerana menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, Alberts menarik nafas lega setelah pertahanan kental Gabor Gyepes dilaporkan semakin pulih daripada kecederaan.

“Kita masih menunggu pengesahan daripada doktor, namun saya percaya keadaan Gabor semakin baik dan beliau akan menyertai pasukan Sarawak ke Indonesia,” tambah Alberts.

Mengulas mengenai peluang Sarawak pada kempen Piala Malaysia kali ini, Alberts memberitahu beliau sentiasa berhasrat untuk membawa skuadnya sejauh mungkin pada kejohanan berprestij tersebut.

“Piala Malaysia sentiasa menjadi idaman setiap pasukan yang bertanding termasuk Sarawak.

“Namun, pada masa yang sama kita harus bersikap realistik dan melihat peluang kita daripada pelbagai aspek terutama kecederaan yang menimpa pemain,” ujarnya.

Katanya, peluang setiap pasukan yang bersaing tetap ada namun bergantung penuh dengan prestasi keseluruhan pemain terutamanya pemainpemain import.

“Kita lihat JDT, mereka berjaya menjulang Liga Super 2014 kerana pemain import mereka dapat beraksi dengan baik.

Ia kunci utama kejayaan mereka,” katanya.

Sarawak diundi dalam Kumpulan B bersamasama Terengganu, Kedah dan Perak.

Undian lain menyaksikan juara bertahan Pahang diundi bersama Lions XII FC, KL Felda United FC dan JDT II dalam Kumpulan A.

Kumpulan C pula menyaksikan juara Liga Super 2014 JDT akan menghadapi tentangan Kelantan, ATM dan Pulau Pinang.

Sementara Selangor diundi dalam Kumpulan D bersama KL Sime Darby F C , PDRM dan Terengganu T-Team .

Kempen Piala Malaysia 2 0 1 4 akan bermula pada 13 Ogos, manakala perlawanan akhir pada 8 November.

Pada 2013, Sarawak berjaya melangkah ke separuh akhir sebelum tewas di tangan juara bertahan Pahang dengan agregat 4-2.