Pendedahan lebih intensif

0

Oleh Harry Ilias //

Atlet kabaddi S’wak perlu sertai lebih banyak pertandingan untuk tingkatkan kemahiran

KUCHING: Atlet kabaddi Sarawak perlu menyertai lebih banyak kejohanan yang diadakan di Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan lagi kemahiran mereka.

Jurulatih Ganisan Punisamy berkata ia perlu kerana Sarawak tidak banyak menganjur kejohanan kabaddi seperti yang ada di Semenanjung Malaysia.

Tambahnya, ia turut membantu beliau menilai tahap keupayaan atlet negeri kerana mereka bakal berdepan ramai atlet kabaddi yang hebat selain memberi mereka peluang untuk menimba lebih banyak teknik dan kemahiran baharu di sana.

“Sarawak tidak seperti Semenanjung Malaysia di mana banyak kejohanan kabaddi dianjurkan setiap bulan.

“Ini menyukarkan kita untuk menilai tahap keupayaan atlet kerana mereka tidak mempunyai ‘sparring’ yang mantap di sini,” katanya.

Menurut Ganisan, beliau percaya atlet lelaki dan wanita Sarawak berpotensi menyinar dan pergi dengan lebih jauh jika dibekalkan dengan latihan pendedahan yang lebih intensif.

“Saya yakin akan keupayaan atlet kita untuk bersaing dengan atlet dari negeri lain.

“Ini dibuktikan dengan beberapa kejayaan dilakar oleh pasukan lelaki dan wanita kita pada kejohanan peringkat kebangsaan yang berlangsung di sana barubaru ini,” tambahnya.

Ujarnya, meskipun ketika ini Sarawak tidak sehebat pasukan yang ada di semenanjung dalam sukan kabaddi, beliau yakin program pembangunan yang sedang dilaksanakan mula menunjukkan hasil yang diharapkan.

Ini selepas empat atlet negeri dipilih untuk mewakili negara pada Pertandingan Kabaddi ASEAN yang akan berlangsung di Incheon, Korea Selatan dari 24 September hingga 5 Oktober depan.

“Persatuan Kabaddi Sarawak (SKA) akan terus berusaha mencari dana bagi memastikan pasukan lelaki dan wanita kita terus mendapat latihan pendedahan secara berterusan.

“Sehubungan itu, SKA juga menyeru badan kerajaan mahupun swasta agar terus memberikan sokongan kepada kita,” katanya.

Sarawak akan menyertai Pertandingan Kabaddi Piala Merdeka yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 29-31 Ogos depan.

Justeru, Ganisan berharap anak-anak buahnya dapat membawa buah tangan dari kejohanan tersebut.

Katanya lagi, ia juga merupakan sebahagian daripada pendedahan awal pasukan Sarawak untuk menghadapi SUKMA 2015 di Kuala Lumpur nanti.