Atendan malang

0

GANAS: Gambar lelaki yang menyerang menggunakan kerusi plastik dikongsi dalam kumpulan ‘Miri Community’ di Facebook.

 

Oleh Steve Annuar //

MIRI: Kes serangan dan ancaman terhadap atendan parkir di sini semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan rasa takut kepada mereka untuk menjalankan tugas.

Terbaharu, dua atendan parkir wanita diserang dan dipukul oleh seorang lelaki menggunakan kerusi plastik kerana enggan kenderaannya dikenakan denda.

Gara-gara takut diserang semasa bertugas, salah seorang mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian bahu dan belakang meletakkan jawatan beberapa hari selepas kejadian itu.

Rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Nurdana pula mengalami kecederaan di kedua-dua pergelangan tangannya ketika cuba melindungi dirinya daripada dipukul.

CABARAN: Lawrence ketika menemui Nurdana semasa melawat pondok kupon yang dibakar di Jalan Brooke, semalam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata, pada tahun ini sahaja sebanyak 10 kes serangan dan ancaman terhadap atendan parkir Miri Parking System (MPS) telah dilaporkan.

“Kes paling teruk ialah serangan menggunakan pisau pada bulan Februari lalu, “ jelas beliau yang turut mengecam tindakan ganas lelaki itu.

Kecaman dan kritikan juga dilemparkan oleh pengguna laman sosial setelah gambar penyerang atendan parkir itu dikongsi dalam kumpulan ‘Miri Community’ di Facebook.

Kes serangan itu telah dilaporkan ke Balai Polis Pusat Miri dan mangsa juga telah menjalani rawatan.

Serangan terbaharu pada petang Jumaat lalu di Pusat Komersil Centre Point melibatkan lelaki yang dipercayai peniaga salah sebuah gerai di dalam sebuah restoran di lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa belum mempunyai niat untuk mengenakan denda ke atas kenderaan lelaki tersebut.

Justeru, Lawrence mahu penduduk menggunakan saluran yang betul sekiranya tidak berpuas hati dengan denda yang dikenakan terhadap mereka.

Bertindak menyerang dan mengancam kese-lamatan atendan parkir tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya menunjukkan sifat buruk mereka, katanya.

Pada awal bulan ini, sebuah pondok menjual kupon di Jalan Brooke berdekatan Yu Lan Plaza musnah terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.

Lawrence memberitahu, pada tahun ini juga, sebanyak lima papan tanda zon parkir telah dirosakkan.

“Saya menggesa kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut terhadap kes ini.  Untuk menjadikan Miri sebagai bandar raya yang selamat, kita tidak mahu sebarang bentuk keganasan berlaku,” katanya.