Bekas wakil rakyat SUPP tubuh Parti Rakyat Bersatu

0

SIDANG MEDIA: Wong (dua kiri), Mawan (dua kanan) mengadakan sidang media bersama Entri (kanan), Dr Jerip (kiri), Dr Rayong (berdiri dari kiri), Paulus, Rosey dan Ranum.

PRB yang diluluskan 14 Julai 2014 disertai Wong Soon Koh, Dr Jerip, Dr Rayong dan Ranum Mina

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Empat bekas wakil rakyat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang sebelum ini berhasrat menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) membuat keputusan untuk menubuhkan parti sendiri dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (PRB).

Dilancarkan semalam selepas diluluskan pada 14 Julai 2014, PRB disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Bengoh Datuk Dr Jerip Susil, ADUN Engkilili Dr Johnichal Rayong Ngipa dan ADUN Opar Ranum Mina.

Pada sidang media di sini semalam, Wong yang mewakili kumpulan berkenaan berkata parti baharu ini bersuara untuk semua mereka yang telah dipecat daripada SUPP dan tidak mempunyai landasan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Jelasnya, pada mulanya keempat-empat mereka berhasrat untuk bekerja dengan kumpulan  bekas–bekas wakil rakyat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di bawah pimpinan Tan Sri William Mawan Ikom menerusi Parti Tenaga Rakyat Sarawak TERAS.

Namun katanya, selepas rundingan dan maklum balas daripada akar umbi, mereka bersepakat adalah lebih baik untuk bekas-bekas wakil rakyat SUPP dan SPDP bekerjasama tetapi bergerak atas landasan yang berbeza.

“Dengan bergerak atas landasan yang berbeza kami dapat menyediakan kepimpinan yang lebih bermakna dan membina kepada rakyat berbilang kaum dan budaya.

“PRB akan memberi penekanan kepada masyarakat Cina manakala TERAS akan memberi tumpuan kepada masyarakat Dayak, mengikut jejak bekas parti masing-masing,” katanya.

Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat menambah, PRB kini adalah permulaan baharu kepada penyokong BN yang hilang kepercayaan terhadap SUPP.

“PRB adalah permulaan baharu kepada masyarakat Cina dan peluang kepada masyarakat Cina untuk diwakili sekali lagi dalam kerajaan dan peluang kepada belia untuk maju ke depan serta menjadi pemimpin pada masa akan datang.

“PRB dan penyokong-penyokongnya berjanji akan memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

“Pada masa yang sama PRB juga akan terlibat sepenuhnya dalam tanggungjawab kolektif keluarga BN untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat terutama masyarakat Cina kepada kerajaan BN,” katanya.

Sementara itu Mawan pada sidang media itu semalam berkata keputusan Wong dan tiga lagi ahli kumpulannya untuk menubuhkan PRB adalah penyelesaian terbaik  untuk kedua-dua pihak menjadi lebih kuat.

Menurutnya, selepas perbincangan, mereka berpendapat adalah lebih baik untuk mereka bergerak menerusi landasan yang berbeza tetapi bekerjasama sebagai sebuah kumpulan dengan objektif, komitmen dan matlamat yang sama.

“Kami adalah daripada dua latar belakang politik yang berbeza dan pada mulanya kami berhasrat untuk mempunyai dua timbalan presiden dalam TERAS satu akan menjaga kebajikan Cina dan satu lagi menjaga kepentingan Bumiputera.

“Tetapi selepas perbincangan, kami mendapati ia bukan penyelesaian terbaik dan dengan adanya TERAS dan PRB kini kami yakin ia akan menguatkan lagi kumpulan ini sekali gus diterima dalam BN,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu semalam, ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri Muran dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Bekenu Rosey Yunus yang masing-masing merupakan bekas ahli SPDP dan menyertai TERAS.