Bola keranjang: CHMS No.1 lancar serangan awal

0

KUCHING: Chung Hua Middle School (CHMS) No.1 memulakan Kejohanan Bola Keranjang Piala Travilion Bawah 15 Tahun Bahagian Kuching dengan langkah kanan apabila skuad lelaki dan wanita mereka berjaya mencatat kemenangan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Latihan Persatuan Bola Keranjang Sarawak, Hui Sing pada minggu lepas.

Dalam perlawanan pertama, pasukan lelaki A mereka berjaya menundukkan pasukan B dengan kemenangan 25-4 dan 41-6 dalam dua suku pertama.

CHMS No. 1 A kemudiannya merehatkan beberapa pemain utama dalam suku akhir kedua bagi memberi peluang kepada pemain remaja namun tetap unggul apabila berjaya menang dengan mata 53-35.

Saingan lain pula menyaksikan Lodge School menundukkan SMK Kuching High 43-40 untuk mencatat kemenangan pertama.

Dalam saingan wanita, CHMS No.1 membuka kempen dengan kemenangan 28- 15 ke atas musuh ketat SMK Kuching High.

Kejohanan tahunan anjuran Persatuan Bola Keranjang Bahagian Kuching itu disertai sebanyak enam pasukan lelaki dan empat wanita.

Perlawanan diadakan setiap hujung minggu dan berlangsung sehingga 8 Oktober depan.

Pasukan yang bersaing dalam kategori lelaki adalah CHMS No. 1 A, CHMS No. 1 B, SMK Kuching High, Lodge School, SMK Batu Kawa dan Incredible.

Manakala bagi pasukan wanita CHMS No. 1, SMK Kuching High, Lodge School dan SMK Batu Kawa. Perlawanan seterusnya akan diadakan pada Jumaat ini menyaksikan saingan menarik antara SMK Kuching High and SMK Batu Kawa (6.45 petang) dalam kategori lelaki, Lodge School menentang SMK Batu Kawa (8 malam) bagi kategori wanita dan Incredible menentang CHMS No. 1 dalam kategori lelaki (9.15 malam).