MOM hanya benar lima petinju ke Sukan Komanwel

0

KUALA LUMPUR: Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) telah memutuskan untuk mengurangkan jumlah petinju daripada tujuh orang kepada hanya lima sahaja bagi mengalas cabaran negara ke temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, yang bermula 23 Julai ini.

Setiausaha Kehormatnya, Mohamed Jani Ismail berkata keputusan itu dibuat atas kehendak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang hanya membenarkan lima petinju sahaja akan beraksi di Sukan Komanwel.

“Disebabkan hanya lima petinju sahaja dibenarkan, pihak kami telah memutuskan untuk menyertai kategori 49kg, 52kg, 60kg, 64kg dan 91kg sahaja.

Kami terpaksa menggugurkan penyertaan dalam kategori 69kg dan 75kg.

“Saya yakin, daripada lima kategori itu, kita boleh merangkul sekurang-kurangnya sebutir pingat emas dalam temasya sukan itu, sebab kelima- lima kategori ini adalah antara yang terbaik daripada tujuh kategori yang kita senaraikan sebelum ini,” katanya pada Bernama semalam.

Ekoran keputusan itu, petinju yang digugurkan daripada senarai PTAM ialah G. Ramkumar untuk kategori 69kg dan Rudy Petrus dalam kategori 75kg.

Sandaran negara di Sukan Komanwel kini diletakkan kepada Muhammad Fuad Mohd Ridzuan (49kg), S.Jaya Raman (52kg), Alnazirul Osman (60kg), Khir Akyazlan Azmi (64kg) dan Muhammad Meeraj Omar (91kg).

Mohamed Jani berharap skuad tinju negara dapat mengulangi pencapaian pingat emas oleh petinju terbaik negara, Sapok Biki dalam kategori 48kg ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 1998.

Sebagai persiapan terakhir, skuad tinju negara kini sedang menjalani latihan fasa akhir di Baguio, Filipina bermula 26 Jun lepas, sebelum berangkat ke Glasgow.

“Sebelum itu, pada awal Jun kita ke Bandung, Indonesia, selama 16 hari dan lepas itu mengadakan latihan paras ketinggian di Cameron Highlands selama enam hari.  — Bernama