Malvern berentap di Macau

0

Oleh Harry Ilias

TERBAIK: Malvern semasa menyertai Kejohanan Mr Malaysia 2014 bulan lalu.

KUCHING: Badang tersohor Sarawak, Dr Malvern Abdullah mendapat restu daripada Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) untuk mewakili negara pada Kejohanan Bina Badan Asia yang akan berlangsung di Macau bulan depan.

Menurut Malvern, MBBF bersetuju memilih beliau setelah badan induk bina badan negara itu mengadakan mesyuarat pada Isnin lalu.

“Terima kasih kepada MBBF kerana memberikan saya kepercayaan untuk mewakili negara pada kejohanan berprestij tersebut.

“Saya tidak akan mensia-siakan peluang ini dan akan berusaha sedaya upaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Malvern, 39, dipilih oleh MBBF setelah membantu Sarawak muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Mr Malaysia 2014 yang berlangsung di Kompleks Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya bulan lalu.

Pada kejohanan tersebut, beliau menggondol tiga gelaran iaitu juara dalam kategori light weight, ‘Champion of Champions’ dan ‘Best Poser’.

Pensyarah jurusan Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Samarahan itu juga mengintai untuk bertanding pada Kejohanan Mr World yang dijangka berlangsung pada November depan di Mumbai, India.

“Ia bergantung kepada prestasi saya di Macau. Jika saya dapat memberikan persembahan terbaik, MBBF akan memilih saya untuk mewakili negara pada kejohanan itu,” jelas ayah kepada tiga orang anak itu.

Malvern mula bergiat secara serius dalam sukan bina badan sejak 2005 dan menjuarai Mr Sarawak sejak tahun itu hingga 2013 dalam pelbagai kategori yang disertainya seperti bantam, light dan welter weight.

Beliau juga ditabalkan juara keseluruhan Mr Sarawak dari 2011 hingga 2013.

Di peringkat kebangsaan, Malvern pernah muncul naib juara pada 2008, 2011, 2012 dan 2013 pada Kejohanan Mr Malaysia sebelum menggondol juara keseluruhan pada awal Jun ini.